
Perodua menawarkan pengurangan harga sebanyak 10 peratus (tertakluk terma dan syarat) ke atas alat ganti komponen penyelenggaran termasuk kos buruh bagi meringankan beban pengguna dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata pengurangan tersebut tertakluk kepada harga alat ganti komponen penyelenggaran serta kos buruh yang dikenakan kepada pelanggan.
“Secara keseluruhan, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sebanyak 10 peratus daripada jumlah bil penyelenggaraan mereka bermula 19 Jun.
“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk datang ke pusat servis bertauliah Perodua bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini serta menggunakan alat ganti tulen untuk kenderaan Perodua anda agar ia boleh kekal cekap dan dipercayai sepanjang masa,” katanya.

Tambah beliau, penurunan kos penyelenggaran tersebut membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti dan pada masa sama Perodua memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan.
Kempen tersebut ditawarkan pada semua model Perodua termasuk QV-E melibatkan aspek pemeriksaan, gantian komponen serta kos buruh yang berkaitan dengan penyelenggaraan kenderaan.
“Berdasarkan data dalaman, terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan Perodua di atas jalan dan menerusi kempen ini kami boleh memberikan servis penyelenggaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Untuk 2025, sejumlah 3.7 juta kenderaan diselenggara di pusat servis Perodua seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut berhubung terma dan syarat, sila lawati pusat servis Perodua berhampiran dan dapatkan khidmat nasihat daripada penasihat jualan atau lawati laman web Perodua.

































