
Honda Eropah melancarkan skuter elektrik kegunaan urban yang dinamakan sebagai CUV e:.
Nama CUV (Clean Urban Vehicle) ini sebenarnya telah pun lama diperkenalkan sejak tahun 1994, di mana ia merupakan skuter elektrik dua roda pertama untuk pasaran Jepun.
Kini, CUV telah diperbaharui dengan teknologi yang lebih moden, sesuai untuk kegunaan di dalam bandar.
Ia dikuasakan oleh motor elektrik 8 hp dan 22 Nm, membolehkan pecutan 0-100 meter dalam masa 8.3 saat, dan kelajuan maksimum sekitar 83 km/j sahaja.
CUV e: ini menggunakan sistem kuasa modular Mobile Powerpack E: dengan dua unit pek bateri berkapasiti 1,314 Wh untuk jarak gerak sejauh 72 km.
Pengecasan pula mengambil masa sekitar enam jam untuk penuh, atau 160 minit dari 25 hingga 75 peratus.
Sistem brek terdiri daripada unit cakera 190 mm di depan, diikuti brek gelendong 130 mm di belakang, sementara suspensi pula menggunakan fork teleskopik 26 mm di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.
Antara ciri moden termasuklah seperti lampu LED, kunci pintar, port USB Type-C, fungsi bantuan undur, serta skrin TFT tujuh inci (atau lima inci) yang boleh disambungkan kepada aplikasi RoadSync Duo.
Berat keseluruhan skuter Honda ini cuma 119 kg, sementara tinggi pelana pula 760 mm.