
Geely Coolray ataupun dikenali sebagai Proton X50 di Malaysia rasmi lancar di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026.
Produk enjin pembakaran dalaman (ICE) pertama jenama itu di Indonesia didatangkan dengan dua pilihan varian iaitu Standard yang berharga IDR 333 juta (RM75,416) dan Flagship pada harga IDR 377 juta (RM85,381).
Ia kemudian ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 174 PS dan tork 290 Nm bersama transmisi automatik 7-kelajuan DCT.
SUV itu menampilkan bampar agresif, spoiler belakang bersama brek kaliper berwarna merah, serta rim 18 inci dengan kemasan hitam berkilat.
Bahagian gril menampilkan garisan menegak manakala belakang mengetengahkan pra kemas kini Proton X50 yang biasa dilihat dengan diffuser lebih agresif daripada versi facelift Geely Binyue (2021).
Masuk ke kabin, Coolray dibekalkan skrin infotainmen berukuran 14.6 inci bersama panel instrumen digital 8.8 inci. Ciri peralatan lain ditawarkan termasuklah bumbung panorama, lampu ambien, kamera 360 darjah dan kerusi semi bucket.
Dari segi keselamatan, Geely melengkapi Coolray dengan teknologi Advanced Driver Assistance System (ADAS) Tahap 2 menerusi adaptive cruise control, automatic emergency braking, lane keeping assist, lane departure warning, forward collision warning, traffic sign recognition, traffic jam assist, intelligent high beam control, hingga integrated cruise assist.
Selain itu, tersedia enam beg udara dan kamera panorama 540 darjah untuk meningkatkan penglihatan pemandu.
Ia didatangkan dengan jaminan 6-tahun atau 150,000km serta penyelenggaraan percuma selama empat tahun atau 50,000km.

































