Utama Berita Automotif Keuntungan turun 60 peratus, Seres ambil alih Aito

Keuntungan turun 60 peratus, Seres ambil alih Aito

8

Huawei mengumumkan penstrukturan semula kerjasama strategik bersama pengeluar kenderaan, Seres Auto dengan kembali memegang peranan asal sebagai pembekal teknologi untuk jenama kenderaan elektrik (EV), Aito.

Langkah itu menyaksikan Seres Auto kini mengendalikan sepenuhnya aspek pembangunan kenderaan, reka bentuk, pembuatan, pemasaran, saluran jualan serta perkhidmatan selepas jualan bagi jenama berkenaan.

Meskipun pengurusannya berubah, kedua-dua pihak mengesahkan bahawa Aito kekal sebagai sebahagian daripada perikatan pintar Harmony Intelligent Mobility Alliance (HIMA).

Pihak HIMA turut mengesahkan bahawa kerjasama baharu itu hanya terpakai untuk jenama Aito sahaja. Barisan jenama lain dalam gabungan itu seperti Luxeed (Chery), Stelato (BAIC), Maextro (JAC) dan Shangjie (SAIC) kekal diterajui secara dominan oleh Huawei dari segi pemasaran dan hala tuju produk.

Langkah terbabit berlaku di tengah dakwaan bahawa Huawei mengambil pemotongan sebanyak CNY 50,000 yuan (RM30,447) daripada setiap jualan kenderaan Aito di bawah perjanjian lama.

Seres Auto juga berada di bawah tekanan berikutan kemerosotan keuntungan bagi separuh pertama 2026.

HIMA menegaskan bahawa Aito kekal sebagai ahli keluarga syarikat yang mana semua khidmat selepas jualan dan hak pembeli kekal tidak terjejas.

Pihak perikatan itu turut mendakwa bahawa jenama Aito telah mencapai kejayaan dan menjadi bukti kepada kerjasama merentasi industri multi-disiplin serta pemerkasaan industri automotif.

Perkembangan Lanjut Seres Auto

CNC sebelum ini melaporkan pengeluar kenderaan itu meramalkan penurunan keuntungan bagi separuh pertama (H1) 2026 sekitar 60 peratus, dengan keuntungan akhir berada pada julat CNY740 hingga CNY970 juta.

Seres Auto kemungkinan besar turut tidak berpuas hati dengan susunan perkongsian keuntungan bersama Huawei.

Che Shi Du Ping (Auto Market Independent Review), sebuah media automotif China mendakwa bahawa di bawah syarat terdahulu Seres Auto memperoleh lebih 30 peratus komponen automotif daripada Huawei, sekali gus memberikan margin keuntungan besar kepada cabang pembekalan teknologi gergasi berkenaan.

Pada julat harga model asas Aito M6 (CNY 229,800) sehingga model utama M9 (CNY 659,800), pemotongan berkenaan mewakili sehingga 22 peratus daripada harga transaksi kenderaan.

Perjanjian baharu ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan Seres Auto serta memberikan lonjakan positif kepada margin keuntungan jangka pendek syarikat tersebut.

Syarikat itu telah melancarkan jenama dalamannya sendiri, Aiva bagi mengurangkan kebergantungan kepada Huawei dan pada masa sama menafikan khabar angin berhubung kerjasama dengan ByteDance untuk menghasilkan “kereta TikTok”.

Sebelumnya, pengeluar kenderaan tersebut turut menjadi tumpuan berita selepas memfailkan paten bagi tandas di dalam kereta.

Menerusi pembukaan kedai jualan eksklusif bagi Aito kelak, pemilik sedia ada dan bakal pembeli dijangka menerima sokongan perkhidmatan selepas jualan yang lebih khusus, sementara perisian pemanduan pintar serta fungsi kokpit pintar terus dibekalkan oleh sistem Huawei.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here