Utama Berita Automotif Harga EV import dijangka cecah RM300k bermula 1 Julai

Harga EV import dijangka cecah RM300k bermula 1 Julai

17

Pengguna automotif tempatan bakal berdepan perubahan besar dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) apabila harga model EV import sepenuhnya (CBU) itu dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya RM300,000 bermula 1 Julai ini susulan pelaksanaan syarat baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Langkah itu dilihat bakal mengubah landskap pasaran EV negara dengan menamatkan penawaran model EV import mampu milik yang sebelum ini menjadi pilihan segmen pasaran massa.

Menurut nota penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd, MITI menetapkan nilai minimum Kos, Insurans dan Tambang (CIF) sebanyak RM200,000 bagi setiap unit EV import yang mahu dibawa masuk ke negara ini.

Selain itu, syarat baharu berkenaan turut menetapkan keperluan output kuasa minimum 180kW bagi model EV import yang layak memasuki pasaran tempatan.

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata pelaksanaan syarat berkenaan akan menyebabkan harga jualan akhir kenderaan meningkat dengan ketara selepas mengambil kira duti import, duti eksais, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus serta margin pengedar.

Beliau berkata, kesan langsung daripada dasar itu ialah penamatan pasaran bagi EV import mampu milik yang sebelum ini menyasarkan pengguna arus perdana.

“Dasar ini secara efektif menamatkan pasaran bagi EV import mampu milik untuk segmen pasaran massa, termasuk model asas daripada jenama import seperti BYD, GWM dan MG,” katanya.

MELABUR KEMUDAHAN CKD

Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai peluang terhad untuk mendapatkan model EV import pada harga sedia ada memandangkan stok kenderaan CBU yang sudah berada dalam negara atau sedang dalam transit sebelum tarikh akhir pelaksanaan dasar itu dikecualikan daripada syarat baharu berkenaan.

Pengecualian itu akan terus terpakai sehingga semua stok berkenaan habis dijual di pasaran.

Wan Mustaqim berkata MITI menggunakan sekatan import berkenaan bagi menggalakkan pembuat kereta global melabur dalam kemudahan pemasangan tempatan (CKD).

“MITI menggunakan sekatan import ini untuk memaksa pembuat kereta global melabur dalam barisan CKD, sekali gus menamatkan pergantungan kepada import murah untuk menguji pasaran,” katanya.

Menurut Kenanga Investment Bank, langkah berkenaan secara tidak langsung memberi kelebihan komersial kepada jenama tempatan serta pengeluar yang lebih awal melaksanakan operasi pemasangan tempatan.

Antara pihak yang dijangka menerima manfaat ialah Perodua menerusi kilang mobiliti pintarnya, selain model Proton dan Zeekr yang dipasang di Kilang Tanjong Malim milik DRB-HICOM Bhd.

Turut berpotensi meraih manfaat daripada dasar itu ialah Xpeng, GWM, BAIC dan SAIC yang menggunakan kemudahan pemasangan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka, selain pengeluar kontrak pihak ketiga seperti Inokom Corporation Sdn Bhd di bawah Sime Darby Bhd.

Dalam perkembangan berkaitan, Kenanga Investment Bank turut melihat peralihan ketara permintaan pengguna ke arah kenderaan hibrid plug-in (PHEV) selepas insentif cukai penuh untuk EV CBU berakhir pada 31 Disember 2025.

Pada masa sama, Kenanga Investment Bank mengingatkan industri automotif mengenai cabaran tenaga kerja apabila barisan pemasangan EV standard memerlukan waktu buruh antara 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding sistem enjin pembakaran dalaman (ICE).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here