Utama Berita Automotif GIIAS2026 : Indonesia jadi pasaran pertama Asean terima Honda Super-One

GIIAS2026 : Indonesia jadi pasaran pertama Asean terima Honda Super-One

9

PT Honda Prospect Motor (HPM) memperkenalkan Honda Super One pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026.

Kehadiran kereta elektrik (EV) kompak itu menjadikan Indonesia negara pertama menerima Super One di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun harga rasmi EV berkenaan masih belum didedahkan yang mana ia bakal diumumkan secara rasmi pada 5 Ogos depan dan hanya terhad 100 unit.

Dari segi dimensi, Honda Super One hadir dengan badan yang kompak menjadi identiti khas Kei Car Jepun. Posisinya berada di antara Honda N-Box/N-One dan kereta bandar legenda Honda Brio.

Pengarah Jualan HPM, Yusak Billy menyatakan bahawa permintaan terhadap model itu di Jepun telah jauh mengatasi jangkaan awal sejak julung kali ia diperkenalkan.

“Di Jepun, tempahan telah pun melebihi 12,000 unit dalam tempoh dua bulan selepas pelancarannya. Kesannya, peruntukan untuk pasaran Indonesia adalah sangat terhad, hanya 100 unit untuk tahun 2026. 

“Kereta ini bukannya direka untuk semua orang. Ia dicipta khas bagi mereka yang mahukan pengalaman pemanduan elektrik yang berbeza di samping mengekalkan DNA pemanduan menyeronokkan daripada Honda,” katanya.

Dibina berasaskan platform N-Series yang diubah suai, Super-One dijana oleh bateri berkapasiti 29.6 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 274km (WLTC).

EV itu juga menawarkan ruag kabin yang luas bagi sebuah kenderaan kompak yang mana jarak roda kanan dan kiri dilebarkan sebanyak 10mm.

Mekanisme tempat duduk belakang yang boleh dilipat rata ke bawah dan ke atas daripada siri N memberikan kombinasi ruang yang praktikal. 

Ia menawarkan lima mod pemanduan iaitu Econ, City, Normal, Sport, dan Boost — dengan output maksimum mencecah 70kW daripada 47kW apabila mod Boost diaktifkan.

Bagi mod City pula, pemandu boleh menggunakan fungsi Kawalan Satu Pedal yang membolehkan kenderaan memecut, memperlahankan kelajuan, dan juga berhenti sepenuhnya hanya dengan menggunakan pedal minyak sahaja.

Bagi mengekalkan karakter pemanduan ikonik Honda, ia dilengkapi dengan sistem simulasi transmisi 7-kelajuan yang dipadankan bersama Active Sound Control. Ciri ini berupaya menghasilkan sensasi penukaran gear serta deruman bunyi seakan-akan enjin petrol konvensional.

Dari segi pengecasan, ia mengambil masa kira-kira 4.5 jam melalui pengecasan biasa (AC) dan sekitar 30 minit menerusi pengecasan pantas (DC). 

Selain itu, dengan menggunakan Honda Power Supply Connector iaitu peranti output kuasa AC luaran, Super-ONE berupaya membekalkan tenaga elektrik sehingga 1,500 watt.

Fungsi ini boleh dimanfaatkan untuk menghidupkan perkakasan elektrik di luar rumah mahupun sebagai sumber kuasa sumber sandaran semasa situasi kecemasan.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here