Utama Berita Automotif Jaecoo J5 EV buat kemunculan khas untuk pasaran Malaysia

Jaecoo J5 EV buat kemunculan khas untuk pasaran Malaysia

5

Omoda Jaecoo Malaysia hari ini mendedahkan penampilan sulung model kenderaan elektrik (EV) pertama jenama itu, Jaecoo J5 EV, yang kini dipamerkan di ekspo Oh My Meow! 2026 di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) bermula 9 hingga 12 Julai.

Model SUV elektrik sepenuhnya ini menampilkan perubahan ketara dengan menggantikan enjin petrol 1.5-liter turbo kepada motor elektrik pacuan roda hadapan.

Ia mampu menjana kuasa sebanyak 211 hp (155 kW) serta tork setinggi 288 Nm.

Jaecoo J5 EV dilengkapi bateri LFP berkapasiti 58.9 kWh yang dibekalkan oleh CATL, sekali gus menawarkan jarak perjalanan sejauh 402 km mengikut kitaran WLTP.

Bagi aspek pengecasan, SUV ini menyokong pengecasan pantas DC yang mampu meningkatkan tahap tenaga bateri daripada 30 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh hanya 28 minit.

Model ini turut disertakan dengan fungsi Vehicle-to-Load yang membolehkan pengguna menyalurkan kuasa elektrik bagi kegunaan peralatan luaran.

Secara visual, J5 EV mengekalkan siluet dan dimensi yang sama dengan model petrolnya.

Bagaimanapun, perubahan utama diberikan pada bahagian muka depan yang kini tampil dengan rekaan gril tertutup serta emblem BEV yang eksklusif bagi menyerlahkan identiti elektriknya.

Ciri luaran lain yang disahkan termasuk penggunaan active grille shutter untuk mengoptimumkan aliran udara bagi kecekapan tenaga, bumbung panoramik, dan pintu but berkuasa.

Untuk ruang penyimpanan, model ini dilengkapi frunk bersaiz 35 liter dan but belakang 480 liter, selain 35 ruang simpanan kecil di seluruh kabin.

Bahagian dalaman pula mengekalkan susun atur model petrol, namun diserikan dengan jahitan biru pada kusyen tempat duduk yang turut bersifat mesra haiwan peliharaan, tahan calar serta anti-bakteria.

Bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden, J5 EV dimuatkan dengan skrin sentuh infotainmen 13.2 inci menegak, kluster instrumen digital, kamera pandangan sekeliling 540-darjah, serta 19 fungsi ADAS. 

Walaupun Omoda Jaecoo Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi, kehadiran SUV ini di acara tersebut menandakan langkah awal syarikat dalam pasaran EV tempatan, dengan pelancaran rasmi dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here