Utama Berita Automotif Sistem LiDAR gagal, Zeekr 9X rempuh tiang

Sistem LiDAR gagal, Zeekr 9X rempuh tiang

7

Keupayaan sistem pemanduan autonomi termaju kembali menjadi topik hangat di China selepas sebuah SUV hibrid ultra-mewah, Zeekr 9X dilaporkan terbabas dan merempuh sebatang tiang telefon ketika mod bantuan pemanduan diaktifkan.

Kes tuntutan pengguna ini mendapat perhatian meluas selepas disiarkan secara eksklusif dalam program bantuan pengguna dikenali sebagai “The First Help Team” (Fu Jian Bang Bang Tuan) terbitan Fujian Media Group, sebuah organisasi media rasmi kerajaan China.

Sistem 5 LiDAR Gagal Mengesan Tiang Telefon

Pemilik SUV berkenaan mendedahkan bahawa dia membeli model premium itu pada harga CNY539,000 (RM323,237)  selepas tertarik dengan teknologi keselamatannya.

Pada majlis pelancaran, Zeekr mendakwa 9X dilengkapi dengan lima unit sensor LiDAR yang menawarkan keupayaan pengesanan objek dan keselamatan 360 darjah termaju.

Namun, tidak lama selepas dibeli, SUV tersebut terbabas ke tepi jalan secara tiba-tiba sebelum merempuh tiang telefon ketika sistem pemanduan pintar diaktifkan. 

Meskipun pemilik terselamat tanpa kecederaan, perlanggaran kuat itu mengakibatkan kerosakan kosmetik dan struktur yang besar pada bahagian sisi dan hadapan kenderaan.

Pemilik menegaskan tuntutan aduannya dengan menyifatkan iklan pemasaran Zeekr sebagai mengelirukan.

Pihak pengeluar sebelum ini menguar-uarkan bahawa sistem LiDAR pada model 9X berupaya mengesan sebarang objek fizikal bersaiz lebih besar daripada 0.75 meter (panjang atau tinggi) dari jarak sejauh 300 meter.

Pemilik tersebut menegaskan, faktor utama dia memilih Zeekr 9X adalah kerana percaya kepada kempen pemasaran rasmi Zeekr.

Malah, sistem pemanduan bantuan “Qianli” (G-Pilot) berhenti dengan cemerlang dalam sesi demonstrasi brek kecemasan rasmi.

Respon Daripada Pihak Zeekr

Apabila wartawan program televisyen terbabit meminta penjelasan daripada syarikat, kakitangan perkhidmatan selepas jualan Zeekr memberikan jawapan yang agak mengejutkan. 

Menurutnya, bentuk keratan rentas tiang telefon tersebut yang berbentuk bulat (silinder) berkemungkinan besar telah memesongkan pancaran denyutan laser daripada sensor LiDAR, sekali gus menjejaskan ketepatan fungsi pengesanan objek sistem.

Apabila kru rancangan mempersoalkan semula bagaimana alasan itu boleh diterima memandangkan tiang tersebut jelas melebihi saiz standard 0.75 meter seperti yang diiklankan, kakitangan Zeekr gagal memberikan sebarang jawapan balas.

Kes berkenaan berakhir selepas pemilik memfailkan aduan melalui talian bantuan sokongan rasmi Zeekr.

Menariknya, sepanjang program itu bersiaran, pihak stesen televisyen bertindak menutup kesemua logo komersial Zeekr pada kereta mangsa mahupun bahan digital pemasaran.

Insiden Yang Serupa

Siasatan lanjut mendapati kes kegagalan sistem ADAS jenama itu bukanlah kali pertama berlaku. Berdasarkan data daripada platform aduan pengguna automotif terbesar China, 12365auto, terdapat dua lagi aduan rasmi berprofil tinggi melibatkan model Zeekr 9X. 

Aduan pertama melaporkan bahawa SUV tersebut gagal mengesan kenderaan lain semasa menukar lorong dalam mod bantuan pemanduan NZP (Navigation Zeekr Pilot), yang mengakibatkan situasi hampir bertembung dalam beberapa kejadian.

Selain itu, aduan yang sama turut menyatakan bahawa semasa sesi pandu uji diagnostik dijalankan, model 9X mereka telah melanggar sebuah bekas plastik dan sistem keselamatan SUV tersebut langsung tidak mengeluarkan sebarang bunyi amaran.

Sementara itu, aduan kedua menunjukkan bahawa sistem keselamatan yang sama akan terpadam secara automatik ketika kenderaan sedang memecut yang akhirnya membawa kepada insiden pelanggaran dengan sebuah basikal elektrik.

Pihak Zeekr dilaporkan memberi maklum balas bahawa situasi tersebut merupakan tindak balas sistem yang normal dan sudah dijangka.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here