Utama Berita Automotif LRT3: Tambang percuma sebulan bermula hari ini

LRT3: Tambang percuma sebulan bermula hari ini

20

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkhidmatan percuma bagi LRT Laluan Shah Alam selama sebulan bermula Isnin.

LRT3 Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8km itu siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi.

Pembukaan Laluan Shah Alam yang memanfaatkan dua juta penduduk sekitar jajaran itu dirasmikan Perdana Menteri, pada Ahad. 

Anwar ketika mengumumkan perkara itu berkata tambang percuma itu turut diberikan bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang Laluan Shah Alam.

Bermula 29 Jun hingga 31 Julai tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.

“Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang besar bagi rakyat,” katanya. 

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan RM16.63 bilion adalah antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian melibatkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Di samping itu, perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan membabitkan 44 van di 20 zon dengan bayaran RM2, bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) juga disediakan di semua stesen antaranya laluan landai (ramps) untuk pengguna berkerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat duduk khas untuk pengguna OKU di setiap gerabak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here