Utama Berita Automotif Kejatuhan harga minyak dunia, RON97 turun 20 sen

Kejatuhan harga minyak dunia, RON97 turun 20 sen

7

Susulan kejatuhan harga minyak dunia pada minggu lalu, harga runcit RON97 turun sebanyak 20 sen seliter manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen seliter dan diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos ini. 

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, pihak Kerajaan terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran.

“Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI95, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.63 seliter, bersamaan kira-kira 82 peratus daripada harga RM1.99 seliter yang dibayar di pam.

“Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI Diesel pula, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.37 seliter, bersamaan kira-kira 113 peratus daripada harga RM2.10 seliter yang dibayar di pam,” jelasnya. 

Ujarnya, harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran telah menyebabkan harga minyak dunia diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar minggu lalu.

Harga minyak mentah Brent merosot ke bawah USD80 setong pada awal tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism(APM), iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu.

“Namun begitu, premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran kembali merosot, susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak.

“Harga Brent meningkat hampir 5 peraus pada Isnin apabila kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz kembali memuncak,” katanya. 

Pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism(APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu, harga runcit produk petroleum adalah seperti berikut:

  1. Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 20 sen kepada RM4.15 seliter 
  2. Harga runcit petrol RON95 turun sebanyak 15 sen kepada RM3.62 seliter
  3. Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter
  4. Harga runcit diesel turun 10 sen pada harga RM4.47 seliter
  5. Harga runcit diesel di bawah BUDI Diesel kekal pada RM2.10 seliter

Namun begitu, Kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat serta merancang perjalanan yang lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu agar dapat mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here