Utama Berita Automotif Sindiket lerai kereta curi warga Pakistan tumpas

Sindiket lerai kereta curi warga Pakistan tumpas

31
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket aktif melerai dan menjual komponen kenderaan lusuh serta kereta curi didalangi warga Pakistan sekitar Jalan Kapar, Klang pada Rabu.
 

Menurut kenyataan, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai turut terlibat dalam kes kehilangan sebuah MPV pelbagai guna milik sebuah syarikat pengurusan jenazah di Kapar, Klang baru-baru ini.

“Dalam serbuan itu, JIM telah menahan seramai 20 warga asing terdiri daripada 17 lelaki warganegara Pakistan serta dua lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia.
 
“Penahanan warganegara Indonesia ini juga telah membawa kepada keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan ‘rumah penampungan’ bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal dengan bayaran yang dikenakan sekitar RM5,000 ke RM10,000 seorang,” ujarnya.
 
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
 
Jelasnya lagi, pihak JIM memandang serius sebarang penglibatan warga asing dalam kegiatan jenayah terancang yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
 
Pihak berkuasa akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing serta rangkaian sindiket yang terlibat.
 
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here