
Kerabat Diraja Pahang meraikan hari bahagia apabila Tengku Puteri Ilyana Alia selamat melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya yang juga pelumba jentera GT dari Britain, Christopher Lionel Froggatt dalam satu majlis di sebuah hotel di ibu negara pada 8 Ogos lalu.
Menurut hantaran rasmi Facebook Kesultanan Pahang, istiadat akad nikah telah disempurnakan oleh Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, selaku jurunikah.
Anggun dan berseri pada hari bahagia tersebut, Tengku Puteri Ilyana Alia mengenakan tiara berlian warisan Permaisuri Azizah.

Christopher Lionel Froggatt, 32, bukanlah nama asing dalam arena sukan permotoran antarabangsa. Beliau merupakan pelumba profesional yang bersaing dalam kejohanan berprestij GT World Challenge Europe Endurance Cup.
Menerusi biografi rasminya di platform Tempesta Racing, minat Christopher terhadap dunia perlumbaan bermula sejak zaman kanak-kanak lagi, selain aktif memupuk bakat dalam pemanduan quad bike serta sukan motocross sepanjang pembesarannya.
Beliau mula berkecimpung secara serius dalam arena sukan perlumbaan pada usia 24 tahun.

Kemudian, Christopher diberi peluang mengendalikan pemanduan prestasi tinggi Ferrari di trek ujian ikonik syarikat itu di Fiorano, Itali yang menjadi pemangkin utama penghijrahannya ke arena perlumbaan antarabangsa.
Memandu jentera Ferrari 296 GT3, beliau berpengalaman luas bersaing dalam kejohanan Ferrari Challenge dan pelbagai siri kategori GT3.
Pencapaian terhebat beliau termasuklah kejuaraan GT World Challenge Europe Endurance Bronze Cup pada tahun 2021 dan 2023, serta gelaran GT World Challenge Europe Sprint Cup Pro-Am pada tahun 2020.





























