
Hyundai Motor Company memperkenalkan Hyundai Avante generasi kelapan di pentas Busan Mobility Show 2026. Di pasaran tempatan, Avante lebih dikenali sebagai Elantra dan pernah mengecapi populariti satu ketika dahulu.
Model yang dibangunkan semula sepenuhnya itu bukan sahaja tampil dengan reka bentuk lebih menyerlah dan dimensi lebih besar.
Malah, ia antara model pertama Hyundai yang menerima sistem maklumat hibur generasi baharu Pleos Connect bersama ejen AI generatif Gleo AI, selari dengan peralihan syarikat ke arah Software Defined Vehicle (SDV).
Rekaan serba baharu, lebih besar dan sporti
Enam tahun selepas pelancaran generasi ketujuh pada 2020, Avante baharu dibangunkan semula dengan pembaharuan dalam aspek reka bentuk, ruang kabin, prestasi pemanduan, keselamatan, kemudahan serta pengalaman digital.
Menggunakan falsafah reka bentuk Art of Steel, sedan itu menampilkan gabungan garisan tajam dan permukaan badan lebih sasa yang menghasilkan penampilan lebih premium dan sporti.
Bahagian hadapan menerima lampu nyalaan siang H-edge Lighting berbentuk huruf H bersama rekaan gril yang lebih futuristik.
Profil sisi pula masih mengekalkan bentuk sedan tiga kotak dengan bonet lebih panjang, dipadankan bersama fender yang menonjol, cermin sisi dengan pemegang nipis, pemegang pintu jenis rata serta rim 18 inci rekaan lima jejari.
Di belakang, lampu H-edge Lighting dipadankan bersama spoiler terbina pada penutup but, lampu brek tambahan menegak dan difuser aerodinamik bagi menyerlahkan imej lebih lebar serta rendah.
Dimensi keseluruhan turut meningkat berbanding model terdahulu.
Dimensi Hyundai Avante:
Berbanding model sebelumnya, panjang bertambah 55mm, jarak roda meningkat 30mm dan lebar bertambah 30mm, sekali gus menawarkan ruang dalaman yang menghampiri sedan segmen pertengahan.
- Panjang: 4,765mm
- Lebar: 1,855mm
- Tinggi: 1,425mm
- Jarak roda: 2,750mm
Kabin moden dengan paparan besar
Di bahagian dalaman, Hyundai mengekalkan susun atur yang memfokuskan pemandu menerusi konsol tengah dan perehat tangan yang seolah-olah membaluti kedudukan pemandu.
Paparan tengah bersaiz 14.6 inci atau 12.9 inci dengan nisbah 16:9 digabungkan bersama butang fizikal bagi memudahkan operasi harian.
Paparan digital nipis di hadapan pemandu memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, gear dan navigasi bagi mengurangkan gangguan ketika memandu.
Dua pilihan rangkaian kuasa
Hyundai menawarkan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin petrol 2.0 liter dan hibrid 1.6 liter.
2.0 Petrol
- Kuasa maksimum: 149PS
- Transmisi: IVT
- Kuasa meningkat 26PS berbanding enjin petrol 1.6 liter sebelum ini.
1.6 Hybrid
- Kuasa sistem gabungan: 157PS
- Enjin Smartstream 1.6 Hybrid
- Motor elektrik P2 dan kapasiti bateri dipertingkat
- Kecekapan bahan api dipertingkat berbanding model terdahulu
Model hibrid turut menerima beberapa teknologi baharu yang meningkatkan kecekapan serta pengalaman pemanduan.
Antaranya ialah:
- Smart Regenerative Braking 3.0 yang melaras tahap brek regeneratif mengikut keadaan trafik dan maklumat navigasi.
- Hybrid Hierarchical Predictive Control System yang mengoptimumkan penggunaan bateri berdasarkan laluan dan keadaan jalan.
- Stay Mode yang membolehkan sistem penyaman udara serta maklumat hibur digunakan ketika kenderaan berhenti seperti sebuah EV.
Keselamatan lebih lengkap
Avante baharu dibina menggunakan struktur badan dengan purata kekuatan tegangan tertinggi dalam kelasnya serta kadar penggunaan keluli berkekuatan ultra tinggi yang dipertingkat.
Buat pertama kali, Hyundai turut memperkenalkan beberapa ciri baharu seperti Navigation-based Smart Cruise Control 2 (NSCC 2), SBW P-stage Emergency Braking dan Pedal Misuse Safety Assist (PMSA).
Turut melengkapkan sistem keselamatan ialah:
- 10 beg udara
- Forward Collision Avoidance Assist 2 (FCA 2)
- Lane Keeping Assist (LKA)
- Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA)
- Safe Exit Warning (SEW)
- Intelligent Speed Limit Assist (ISLA)
- Driver Attention Warning (DAW)
- Blind View Monitor (BVM)
- High Beam Assist (HBA)
- Lane Following Assist 2 (LFA2)
- Highway Driving Assist 2 (HDA 2)
- Steering Wheel Grip Detection (HOD)
Bagi memudahkan urusan parkir, Hyundai turut menawarkan:
- Memory Reversing Assist (MRA)
- Remote Smart Parking Assist (RSPA)
- Front/Side/Rear Parking Distance Warning
- Front/Rear Parking Collision Avoidance Assist
- Surround View Monitor (SVM)
- Rear View Monitor (RVM)
- Rear Cross Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA)
Pleos Connect dan Gleo AI canggih
Salah satu pembaharuan terbesar ialah penggunaan Pleos Connect, sistem maklumat hibur generasi baharu berasaskan Android Automotive Operating System (AAOS).
Sistem ini turut memperkenalkan Gleo AI, iaitu ejen AI generatif yang dibangunkan berasaskan Large Language Model (LLM).
Ia mampu memahami perbualan secara semula jadi, membantu carian maklumat, mencadangkan destinasi perjalanan serta berinteraksi dengan pengguna dengan lebih natural.
Turut disediakan ialah Pleos App Market yang membolehkan pengguna memuat turun pelbagai aplikasi seperti penstriman video, muzik dan permainan terus ke dalam kenderaan.
Ciri lain yang ditawarkan termasuk:
- Sistem audio Bang & Olufsen
- Built-in Cam 2 Plus
- Kemas kini perisian Over-the-Air (OTA)
- Hyundai Digital Key 2
- Walk Away Lock
- Pengecas tanpa wayar dwi telefon pintar
- Port USB pengecasan pantas 100W untuk barisan hadapan dan belakang
Tempahan bermula suku ketiga
Hyundai akan mengumumkan varian lengkap, spesifikasi penuh, angka penggunaan bahan api serta harga rasmi Avante baharu pada suku ketiga tahun ini sebelum membuka tempahan buat pelanggan di Korea.









































