
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sungai Petani menyita sebuah Mazda CX-5 milik warga Pakistan selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans telah tamat tempoh dalam Operasi PEWA dan Luxury di KM2 Jalan Patani Jaya–Telok Wang, pada Isnin.
Pemandu seorang wanita tempatan berketurunan India menyatakan hanya meminjam kenderaan berkenaan untuk menghantar anak ke rumah saudara di Taman Cendana.
“Dia menjelaskan tidak mengetahui LKM tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Sehubungan itu, Mazda CX-5 berwarna perak tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Cawangan Sungai Petani untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
JPJ Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi peruntukan undang-undang demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
































