
Naza Eastern Motors menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama FLUX bagi menawarkan Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Plus sebagai model terawal yang boleh didapati melalui platform FLUX.
Selain memperkenalkan kenderaan Suzuki ke dalam platform berkenaan, kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai langganan kenderaan sebagai penyelesaian mobiliti alternatif, meluaskan kehadiran Suzuki dalam ekosistem mobiliti Malaysia yang kian berkembang, serta menyokong pengenalan armada langganan terawal menggunakan model-model Suzuki terpilih menerusi FLUX.
Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan dan Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia, Sivakumar Krishnan bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FLUX, Aziz Ayman.
Mohd Rizal berkata meskipun pemilikan kenderaan kekal menjadi aspirasi penting bagi ramai rakyat Malaysia, pihaknya melihat permintaan yang kian meningkat terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel, mudah, dan sesuai dengan pelbagai gaya hidup.
“Dengan menggabungkan produk Suzuki yang diyakini bersama platform langganan inovatif FLUX, kami mewujudkan satu lagi laluan untuk pelanggan merasai pengalaman jenama Suzuki.
“Laluan ini juga akan diperluaskan ke ruang pameran yang mana kaunter FLUX akan ditempatkan di dalam cawangan pengedar Naza Eastern Motors supaya pelanggan yang hadir boleh mempelajari cara sistem langganan ini berfungsi.
“Bukan semua pelanggan yang mengunjungi bilik pameran Suzuki sedia untuk membuat pembelian secara tradisional, dan perbincangan tidak sepatutnya terhenti di situ sahaja,” jelasnya.
Di samping itu, pelanggan langganan Suzuki turut akan menikmati kereta ihsan percuma bagi memastikan tiada gangguan pemanduan.
Promosi Istimewa Hari Kemerdekaan Ke-69
Di samping itu, bagi meraikan sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-69 serta menandakan pelancaran kerjasama berkenaan, FLUX menawarkan diskaun eksklusif 69 peratus untuk langganan bulan pertama dan bulan terakhir bagi pelan langganan terpilih 24 hingga 36 bulan, sah sehingga 6 September 2026.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan bagi model Suzuki pilihan mereka secara terus menerusi laman web FLUX atau mengunjungi bilik pameran rasmi Suzuki di seluruh negara untuk maklumat lanjut mengenai program langganan ini.






























