
PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad memulakan pengeluaran Proton e.MAS 7 PHEV pemasangan tempatan (CKD) di Kilang EV Proton yang terletak di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim.
Pencapaian tersebut mengukuhkan komitmen PRO-NET dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi pembuatan kenderaan xEV, di samping memperkukuh keupayaan industri tempatan serta pembangunan rantaian bekalan tempatan.
Proton e.MAS 7 PHEV menjadi model terlaris kenderaan plug in hibrid (PHEV), dengan jumlah pendaftaran setakat ini mencecah 4,500 unit manakala tempahan keseluruhan telah melangkaui 11,000 unit.

Sempena pelancaran berkenaan, PRO-NET turut memperkenalkan beberapa ciri terkini pada varian Proton e.MAS 7 PHEV Premium dan Premium Plus. Antaranya ialah penambahan ciri kerusi urut di bahagian hadapan, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan untuk pemandu serta penumpang.
Menurut kenyataan, inisiatif CKD e.MAS 7 PHEV berkenaan melibatkan penglibatan pembekal tempatan merentasi rantaian nilai automotif dengan 30 peratus komponen kenderaan diperoleh daripada sumber lokal.
Pencapaian itu juga merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, memperluas keupayaan pembuatan tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi menyokong tenaga kerja sedia ada seramai 391 kakitangan di kilang EV tersebut.

Dengan kesemua tiga model Proton e.MAS berserta varian masing-masing kini dipasang tempatan, usaha berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting bagi PRO-NET dan industri automotif Malaysia.
Proton e.MAS 7 PHEV dipacu oleh teknologi EM-i Advanced Hybrid, sistem dwi-kuasa itu menggabungkan enjin petrol berkecekapan tinggi dengan motor elektrik secara lancar.
Sistem rangkaian kuasa berkenaan menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.3L/100km serta jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170km, dengan jarak perjalanan keseluruhan gabungan sehingga 1,065km.






























