
Juara dunia F1 empat kali Max Verstappen mengakui beliau tidak lagi menikmati pemanduan kereta lumba generasi baharu seperti sebelumnya.
Perkara tersebut menimbulkan persoalan tentang masa depan jangka panjangnya dalam sukan F1.
“Saya tidak mahu meninggalkan F1,” ujar Verstappan yang bakal tamat kontrak dengan Red Bull pada tahun 2028.
“Saya cuma berharap saya boleh berseronok sedikit lagi, tapi saya juga buat benda lain yang menyeronokkan. Saya dapat berlumba di Nordschleife. Saya harap dalam beberapa tahun lagi saya boleh buat Spa 24 Jam, dan mungkin Le Mans.
“Jadi saya gabungkan perkara lain yang saya rasa menyeronokkan juga. Saya ada pasukan [Verstappen Racing] sendiri, jadi banyak ‘gangguan’ positif dalam hidup saya sekarang.
“Tapi pada masa sama ia agak bercanggah, saya tak begitu menikmati memandu kereta sekarang, tapi saya sangat suka bekerja dengan semua orang dalam pasukan dan juga bahagian enjin. Ia macam… saya tak boleh maki, nanti kena denda 5K!”
“Saya tak mahu pergi, jadi saya harap semuanya akan jadi lebih baik. Saya sudah berbincang dengan F1 dan FIA, dan kami sedang usahakan sesuatu yang diharap dapat memperbaiki keadaan.”
Mengenai bentuk perbincangan itu, Verstappen berkata: “Saya sangat berharap ia tidak kekal begini untuk beberapa tahun akan datang. Saya harap tahun depan pun kita sudah boleh buat penambahbaikan yang ketara.
Verstappen menamatkan perlumbaan pembukaan musim di Australia di tempat keenam, satu kebangkitan kukuh selepas kemalangan dalam kelayakan menyebabkan beliau bermula dari petak ke-20.
Beliau percaya kereta dan enjin Red Bull masih mempunyai “banyak potensi” untuk digilap, namun mengakui terdapat jurang antara pasukannya dengan pesaing Mercedes dan Ferrari.

































