
Sudah enam tahun berlalu sejak Audi memperkenalkan generasi keempat Audi RS6 Avant.
Kebiasaannya, permintaan terhadap sesebuah model yang sudah berusia akan menurun, namun tidak bagi model wagon pantas yang cukup praktikal ini.
Bercakap kepada akhbar Jerman Automobilwoche, Audi mendedahkan permintaan terhadap model RS6 Avant telah mencatatkan rekod untuk tempahan separuh tahun.
Alina Seysen, wakil jurucakap bagi pemasaran dan jualan berkata, populariti wagon tersebut telah meningkatkan permintaan keseluruhan terhadap divisyen Audi Sport.
Sehingga Jun, jumlah pengambilan tempahan untuk model Audi Sport melonjak 41 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Terdapat dua faktor yang menyumbang kepada populariti Audi RS6 Avant. Salah satu daripadanya ialah Mercedes-AMG pula masih lagi belum menawarkan model E63 Estate.
Sementara itu, tindakan BMW menawarkan model M5 Touring dengan unit rangkaian kuasa hibrid telah mengasingkan kelompok pembeli yang mahukan pengalaman nadi V8 tulen.
Sebut pasal elektrifikasi, Audi dilapor mengesahkan model generasi baharu RS6 Avant akan dilengkapi dengan tetapan nadi V8 hibrid.
Jadi, ini juga menjadi salah satu penyumbang kenapa model yang sudah lama berada di pasaran ini laris macam pisang goreng panas.