
Honda Malaysia mengumumkan penambahan model baharu hibrid, Prelude serba baharu ke pasaran tempatan menerusi pembukaan tempahan secara rasmi bermula hari ini.
Kemunculan semula model ikonik itu menetapkan penanda aras baharu menerusi tawaran Teknologi S+ Shift buat pertama kali dalam barisan Honda Malaysia.
Digabungkan dengan Active Sound Control, sistem ini mensimulasikan penukaran gear dan meningkatkan tindak balas enjin melalui koordinasi tepat antara enjin dan dwi-motor elektrik.
Honda Prelude dikuasakan oleh enjin 2.0L e:HEV termaju yang menghasilkan kuasa 184 PS dan tork 315 Nm.
Coupe sport itu memiliki dimensi 4,522mm panjang, 1,880mm (lebar), dan 1,355mm (tinggi) dengan jarak roda 2,605mm.
Ciri aerodinamik dipertingkatkan oleh garis bumbung licin yang dihasilkan melalui teknologi laser brazing, hendal pintu jenis ‘flush’, gril krom hitam dengan aksen biru di bahagian tengah bawah bampar hadapan dan belakang.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah lampu depan dan belakang jenis LED, lampu selekoh aktif, rim 19-inci dan brek Brembo berkapasiti tinggi.
Honda Malaysia terus mengutamakan keselamatan dengan tawaran Honda SENSING, serta sistem Maklumat Titik Buta (BSI) dan Monitor Trafik Belakang (CTM).
Kempen “Hybrid Done Right”, rebut peluang pandu Prelude selama seminggu

Sementara itu, Honda Malaysia turut melancarkan Kempen “Hybrid Done Right” bermula 1 April hingga 30 Jun 2026.
Kempen itu menampilkan siri program yang mempamerkan kelebihan sistem e:HEV dan pada masa sama menawarkan ganjaran menarik kepada pelanggan.
Pelanggan yang membeli model Honda e:HEV bakal menikmati rebat tunai tambahan sebanyak RM2,000 dan servis buruh percuma untuk dua tahun pertama.
Selain itu, pemilik juga akan mendapat penyertaan dalam cabutan bertuah bulanan bagi merasai pengalaman memandu Prelude selama satu minggu selepas pelancaran.
“Pemilik hibrid Honda sedia ada juga dijemput untuk mengambil bahagian dengan menyertai Peraduan “Hybrid Done Right”, yang mana mereka boleh berkongsi bacaan penggunaan bahan api sebenar untuk satu tangki penuh di media sosial.
“Peserta dengan prestasi penggunaan bahan api terbaik akan dianugerahkan pakej servis percuma selama satu tahun,” menurut kenyataan.
Kini, rangkaian kuasa e:HEV Honda merentasi model-model utama termasuk City, City Hatchback, HR-V, Civic, dan CR-V baharu.































