
Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan, krisis berkenaan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent global melebihi 40 peratus sehingga melepasi paras USD100 setong.
“Lebih kritikal, harga minyak yang diproses bagi petrol dan diesel juga melambung tinggi masing-masing pada harga USD150 setong dan USD250 setong, sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan,” kata kenyataan itu.
Di samping itu, harga runcit bagi RON 97 menurun sebanyak 2 sen menjadikannya pada kadar baharu, RM4.95 seliter berbanding RM5.15 sebelumnya.
Manakala harga runcit RON95 tanpa subsidi kekal pada paras RM3.87 seliter.
Kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu seperti seperti RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (RM2.05) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15) bagi setiap liter.
Selain itu had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian, ia dihadkan sehingga 50 liter setiap pembelian dan kenderaan pengangkutan darat awam serta barangan tidak melebihi tiga tan pula dibenar sehingga 100 liter pada setiap pembelian.


