
Nampaknya, lebih ramai pihak yang sudah sedar akan kelebihan yang wujud pada model wagon pantas BMW M5 Touring.
Dalam satu laporan terkini oleh BMW Blog, bos BMW M Frank van Meel mendedahkan terdapat permintaan yang agak memberangsangkan untuk model tersebut berbanding sedan BMW M5.
“Kami menerima permintaan yang agak tinggi untuk model M5. Situasi itu melonjakkan angka pengeluaran serta prestasi jualan,” ujarnya.
“Melihat kepada permintaan, ia tidak akan menurun,” tambahnya lagi.
van Meel turut mendedahkan situasi yang berbeza untuk pasaran Eropah di mana jualan model sedan lebih banyak berbanding model Touring.
“Amerika Syarikat adalah sebaliknya. Kami kini menerima permintaan yang lebih tinggi untuk model Touring di US berbanding model sedan.
Di peringkat global, Frank menjelaskan permintaan bagi model M5 terbahagi 50:50 antara dua bentuk badan yang disebutkan tadi.
Sebelum ini, wakil jurucakap BMW menjelaskan penawaran model M5 Touring di US merupakan ujian litmus bagi menentukan sama ada BMW perlu membawa masuk model wagon lain untuk pasaran tersebut ataupun tidak.
Namun melihatkan kepada perkembangan terbaharu, para peminat BMW M boleh menjangkakan kehadiran model M3 Touring yang bakal ditawarkan kelak.