
Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa meluluskan undang-undang baharu yang memerlukan semua pemilik kereta membayar lesen radio sebagai syarat wajib untuk perbaharui insurans kenderaan.
Lesen radio tersebut dilaporkan bernilai $92 (RM390) dan perlu diperbaharui setiap tahun.
Pengenalan undang-undang baharu itu dikatakan sebagai sebahagian daripada langkah untuk meluaskan sumber pendapatan penyiar negeri.
Langkah memperkenalkan lesen radio ternyata dibantah banyak pihak disebabkan kos yang terlalu tinggi tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang sukar.
Tokoh pembangkang terkenal, Nelson Chamisa mendakwa undang-undang baharu itu ‘terlalu draconian’ dan tidak berhati perut.

Nick Mangwana, seorang pegawai kanan kementerian penerangan memberikan penjelasan undang-undang baharu itu perlu dilaksanakan dan bersifat adil.
Difahamkan, terdapat 1.2 juta kenderaan yang didaftarkan di negara tersebut, namun hanya 800,000 sahaja yang direkodkan membayar insurans, menurut media tempatan.
Menariknya, lesen radio tersebut boleh dikecualikan sekiranya kenderaan tersebut mempunyai sijil pengecualian sah daripada Zimbabwe Broadcasting Corporation (ZBC) yang mengesahkan kereta tersebut tidak mempunyai antena siaran radio.