
iCAUR Malaysia mengumumkan model iCAUR V23 kini dipasang secara tempatan (CKD) dengan unit pertama dijangka mula dipamerkan di bilik pameran seluruh negara selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Langkah ini diambil susulan prestasi memberangsangkan jenama tersebut apabila tersenarai antara tiga jenama kenderaan elektrik bateri terbaik di Malaysia untuk separuh pertama 2026.
Proses pemasangan CKD iCAUR V23 dimulakan secara rasmi pada awal Julai 2026, sekali gus menunjukkan komitmen jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan operasi dan kehadiran jenama di pasaran tempatan.

Menurut iCAUR Malaysia, inisiatif pemasangan tempatan ini membolehkan syarikat meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menyokong pengembangan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Walaupun dipasang di Malaysia, varian iCAUR V23 iWD CKD mengekalkan spesifikasi, standard kualiti dan kelengkapan yang setara dengan model import sepenuhnya (CBU). Harga jualan juga kekal tidak berubah, iaitu RM132,780.
Untuk rekod, iCAUR V23 mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada November 2025 dalam bentuk CBU dan ditawarkan dalam dua varian, 2WD dan iWD pacuan semua roda.
Spesifikasi Utama iCAUR V23 2WD
- Rangkaian kuasa – Motor elektrik tunggal di gandar belakang
- Output – 136hp, 180Nm
- Bateri – 59.9kWh Lithium Iron Phosphate (LFP)
- Jarak pemanduan – Sehingga 360km (kitaran NEDC)
- Pecutan 0-100km/j – 11 saat
- Kelajuan maksimum – 140km/j

Spesifikasi Utama iCAUR V23 iWD (AWD):
- Rangkaian kuasa – Dwi-motor elektrik, pacuan semua roda
- Output – 211hp, 292Nm
- Bateri – 81.8kWh Nickel Manganese Cobalt (NMC)
- Jarak pemanduan – Sehingga 430km (kitaran NEDC)
- Pecutan 0-100km/j – 7.5 saat
- Kelajuan maksimum – 140km/j
Dari segi ruang dalaman, kedua-dua varian menampilkan reka bentuk retro-futuristik dengan corong pendingin hawa segi empat tepat dan tombol kawalan jenis putar.
Antara kelengkapan standard yang ditawarkan termasuk:
- Skrin infotainmen bersaiz 15.4 inci
- Tempat duduk balutan kulit sintetik dengan fungsi pengudaraan untuk pemandu dan penumpang hadapan
- Pengecas telefon pintar tanpa wayar
- Stereng pelbagai fungsi
- Sistem kamera pandangan sekeliling 540 darjah
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB)

Kesemua ciri dan kelengkapan tersebut dikekalkan pada versi CKD bagi memastikan pelanggan terus menikmati pengalaman pemanduan dan tahap kualiti yang sama seperti model CBU.
Dengan pelaksanaan pemasangan tempatan, iCAUR Malaysia yakin dapat memastikan bekalan lebih konsisten serta mempercepat perkembangan jenama dan khidmat pelanggan di pasaran domestik.

































