
Yamaha Motor Co., Ltd. melancarkan skuter terbaharu mereka iaitu Fazzio bagi pasaran domestik Jepun pada 9 Mac 2026.
Skuter ini dijadualkan mula dijual kepada umum pada 24 April depan. Fazzio juga dipasarkan di negara jiran dan dieksport ke Jepun dari Indonesia.
Skuter gayaan retro dan comel sebegini mempunya pengikut tersendiri di pasaran tempatan seperti yang dibuktikan oleh Benelli Panarea, Moda Moca dan beberapa lagi.
Fazzio membawakan konsep Simple & Casual Mover as a Lifestyle-wear.
Pendekatan ini menumpukan kepada fungsi praktikal yang digabungkan dengan elemen fesyen harian yang ringkas dan kasual bagi kegunaan penunggang di bandar.
Rekaan Unik dan Identiti Visual Hello Simple
Rekaan Fazzio dibangunkan berasaskan konsep Hello Simple yang menawarkan rupa luaran yang tidak ditelan zaman.
Yamaha memberikan tumpuan kepada ruang dalaman yang luas termasuk bahagian lutut yang selesa dan lantai pemijak kaki yang rata bagi menampung pelbagai saiz fizikal penunggang.
Dari sudut luaran, skuter ini menggunakan permukaan badan yang rata dan ringkas supaya mudah dikendalikan dalam kesesakan lalu lintas atau lorong sempit.
Identiti visual Fazzio diperkukuhkan dengan penggunaan motif bujur atau oval pada unit lampu hadapan, lampu belakang, panel meter sehingga kepada cangkuk jenis karabiner.
Selain itu, terdapat perincian Vertical Icon pada bahagian hadapan yang mengekalkan warisan gaya skuter fesyen Yamaha.
Rangkaian Kuasa Blue Core dan Sistem Smart Motor Generator
Fazzio dikuasakan oleh enjin Blue Core 124 cc sejukan udara, 4-lejang, SOHC, 2-injap dengan sistem suntikan bahan api.
Enjin ini dibina berdasarkan tiga prinsip utama iaitu pembakaran cekap, pengurangan kehilangan kuasa dan sistem penyejukan yang tinggi.
Paling utama, model ini dilengkapi sistem Smart Motor Generator (SMG) yang menggabungkan fungsi motor penghidup dan penjana kuasa.
Sistem ini membolehkan tiga ciri utama berfungsi:
- Fungsi Power Assist: Pertama kali diperkenalkan untuk model domestik Yamaha di Jepun. Sistem ini memberikan bantuan daya pacuan tambahan selama kira-kira 3 saat apabila pendikit dibuka dengan besar atau pantas semasa mula bergerak. Ia sangat membantu ketika skuter mendaki bukit atau semasa membawa penumpang.
- Stop & Start System: Sistem ini mematikan enjin secara automatik semasa berhenti di lampu isyarat untuk menjimatkan bahan api sehingga 3 peratus dan boleh dihidupkan semula dengan hanya memutar pendikit.
- Smart Start: Memberikan proses penghidupan enjin yang sangat senyap tanpa bunyi mekanikal motor penghidup konvensional dan hanya memerlukan satu punatan pendek pada suis penghidup.
Kebolehan Ubah Suai dan Sambungan Pintar
Pemilik Fazzio mempunyai ruang untuk mengekspresikan kreativiti melalui aksesori yang dijual berasingan.
Bahagian seperti penutup lampu hadapan dan penutup panel meter boleh ditukar dengan mudah mengikut gaya peribadi.
Bagi kemudahan digital, skuter ini menyokong aplikasi telefon pintar Y-Connect.
Pengguna boleh menyemak makluman panggilan masuk, mengurus penggunaan bahan api dan melihat status motosikal terus melalui telefon.
Terdapat juga soket pengecasan jenis USB Type-A untuk kemudahan peranti elektronik.
Ergonomik dan Praktikaliti Bandar
Fazzio direka dengan berat keseluruhan hanya 97 kg bagi memudahkan urusan menolak atau memarkir kenderaan.
Pelana direka khusus untuk pasaran Jepun bagi menjamin keselesaan dengan ketinggian 765 mm yang mesra untuk pelbagai ketinggian penunggang.
Aspek storan juga dititikberatkan melalui ruang bawah pelana berkapasiti 19.1 liter yang mampu memuatkan topi keledar jenis jet helmet.
Terdapat dua poket hadapan yang terdiri daripada satu poket bertutup di sebelah kiri dan satu poket terbuka di sebelah kanan.
Pilihan Warna dan Estetik
Yamaha menawarkan empat pilihan warna utama:
- Leaf Green: Warna nuansa hijau yang tenang dan mengikut trend harian.
- Light Blue: Warna biru muda yang menonjolkan rekaan badan yang unik.
- Pastel Yellow: Warna kuning lembut yang memberikan kesan tenaga tetapi mudah dipadankan dengan pelbagai gaya.
- Black: Warna hitam metalik yang dipadankan dengan grafik cerah untuk gaya jalanan yang lebih garang.
Harga dan Pengeluaran
Yamaha menyasarkan jualan sebanyak 6,500 unit setahun untuk pasaran domestik Jepun.
Model ini dikilangkan oleh PT Yamaha Indonesia Motor Manufacturing di Indonesia sebelum diimport ke pasaran Jepun oleh Yamaha Motor Co., Ltd.
Harga jualan adalah 368,500 Yen (termasuk cukai penggunaan) atau kira-kira RM9,220 mengikut kadar pertukaran semasa.
Spesifikasi Teknikal Yamaha Fazzio 2026 Jepun
- Enjin: 124cc sejukan udara, 4-lejang, SOHC, 2-injap, silinder tunggal
- Nisbah Mampatan: 10.2:1
- Kuasa Maksimum: 8.3 PS @ 6,750 rpm
- Tork Maksimum: 9.8 Nm @ 5,000 rpm
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 5.1 L (Petrol tanpa plumbum)
- Sistem Bekalan Bahan Api: Suntikan bahan api
- Jenis Transmisi: V-belt automatik
- Panjang x Lebar x Tinggi: 1,820 mm x 685 mm x 1,125 mm
- Ketinggian Pelana: 765 mm
- Jarak Roda: 1,280 mm
- Jarak Kelegaan Bumi Minimum: 135 mm
- Penggunaan Bahan Api (Standard MLIT): 55.0 km/l (pada kelajuan 60 km/j dengan 2 penumpang)
- Penggunaan Bahan Api (Mod WMTC): 56.4 km/l (Kelas 1 dengan 1 penumpang)
- Saiz Tayar Depan: 110/70-12 47L (Tubeless)
- Saiz Tayar Belakang: 110/70-12 52L (Tubeless)
- Jenis Brek Depan: Cakera tunggal hidraulik
- Jenis Brek Belakang: Mekanikal dram leading-trailing
- Sistem Suspensi Depan: Teleskopik
- Sistem Suspensi Belakang: Unit Swing
- Jenis Lampu: LED (Lampu hadapan dan lampu posisi)
- Berat: 97 kg






































