
Kumpulan pertama Mazda 6e pemanduan sebelah kanan (RHD) dikesan tiba di pelabuhan Thailand yang mana pengeluar kereta Jepun itu sedang bersiap sedia untuk pelancaran pada Julai ini di Thailand dan Australia.
Pemasangan sedan elektrik berkenaan dijalankan di kemudahan Nanjing milik Changan-Mazda di China yang mana ia dikenali sebagai EZ-6.
Thairath Online melaporkan sebanyak 500 buah Mazda 6e telah tiba di Pelabuhan Laem Chabang, utara Pattaya, pada Jumaat lalu.
Ia menandakan kemunculan awam pertama bagi model produksi Mazda 6e RHD dan dijangkakan akan lebih banyak lagi stok tiba di kedua-dua pasaran RHD menjelang pelancaran.
Selain itu, negara pasaran RHD yang bakal menerima model berkenaan antaranya United Kingdom, Singapura, Hong Kong dan Indonesia.
Walaupun Mazda pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membawa masuk 6e ke pasaran tanah airnya di Jepun, dipercayai pelancaran di pasaran Malaysia kini berada di bawah pertimbangan.
Mazda EZ-6 pertama kali dilancarkan di China pada Oktober 2024. Seterusnya, model 6e yang berorientasikan eksport telah diumumkan di Pertunjukan Auto Brussels 2025, dengan penghantaran versi pemanduan kiri (LHD) bermula pada pertengahan 2025 ke Eropah.
Di pasaran luar, 6e ditawarkan sebagai kereta elektrik (EV) penuh manakala EZ-6 di China turut ditawarkan dalam versi EV jarak lanjutan (EREV).
Perincian Mazda 6e dan EZ-6
Mazda EZ-6 dan 6e dibina berasaskan platform EPA1 milik Changan dan kedua-duanya mempunyai hubungan reka bentuk yang sangat rapat dengan sedan Deepal SL03 dan L07.
Perkongsian ini turut melibatkan SUV CX-6e (dikenali sebagai EZ-60 di China) yang menggunakan platform sama dengan SUV Deepal S07.
Ini merupakan hasil daripada syarikat usaha sama Changan-Mazda di China. Mazda menegaskan bahawa pelbagai pengubahsuaian meluas telah dilakukan bagi memastikan kedua-dua kereta menjelmakan falsafah pemanduan dinamik jenama itu, iaitu “Jinba-Ittai”.
-
Spesifikasi EZ-6 (China): Ditawarkan dengan pilihan bateri LFP CATL-Changan bersaiz 56.1kWh dan 68.8kWh, memberikan jarak gerak EV antara 480 hingga 600km (CLTC). Ia digerakkan oleh motor belakang tunggal berkuasa 190 kW (255 hp).
-
Versi EREV: LFP 28kWh dengan enjin pelanjut jarak (range extender) 1.5-liter berkuasa 70 kW (94 hp), walaupun kuasa motor belakangnya dikurangkan kepada 160 kW (215 hp). Ia menawarkan jarak gerak elektrik 200km (CLTC) dan menyokong pengecasan pantas DC pada 50kW.
Mazda memperkenalkan pilihan bateri LFP 78 kWh baharu, yang turut dibekalkan oleh CATL-Changan bagi model RHD 6e terbaharu.
Mazda Australia mendakwa pek baharu ini meningkatkan kedua-dua aspek jarak gerak dan pengecasan pantas, membolehkan 6e berjalan sejauh 560km dengan sekali cas. Pilihan ini dijangka akan diperluaskan ke pasaran Eropah juga.
Dari segi harga, EZ-6 dengan bateri 68.8kWh bermula pada harga CNY150,800 (RM91,892) di China. Bagaimanapun, harga 6e melonjak lebih daripada dua kali ganda di kebanyakan pasaran luar.
Mazda 6e berukuran 4,921 mm panjang, 1,890 mm (lebar), 1,485 mm (tinggi), dan mempunyai jarak roda 2,900 mm. Berat kosong adalah sekitar 1,778 hingga 2,037kg, bergantung kepada rangkaian kuasa dan kemasan jentera.
Ia menggunakan sistem suspensi jenis topang McPherson di depan dan multi-link (belakang).



































