Utama Berita Automotif Berita Global EZI HYPESCRAM – Motosikal elektrik gaya scrambler, ada peminat di Malaysia?

EZI HYPESCRAM – Motosikal elektrik gaya scrambler, ada peminat di Malaysia?

8

Jenama mobiliti elektrik EZI dari China sudah pun memasuki pasaran tempatan. EZI ditubuhkan pada 2023 oleh kumpulan Keeway dan memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian mobiliti elektrik ringan di peringkat global.

Setakat ini dua model EZI dipasarkan iaitu TS1 dan Ray-01. Susulan rebat Mforce.Cas berjumlah RM2,400, Ray-01 ditawarkan pada harga yang begitu menarik dan laku keras.

EZI mempunyai sejumlah lagi model merentasi pelbagai segmen dan berupaya merevolusikan pasaran tempatan.

Satu model yang menarik ialah HYPESCRAM, sebuah motosikal elektrik bergaya scrambler yang didedahkan di Milan, Itali pada November 2025.

HYPESCRAM dibangunkan berasaskan platform motosikal elektrik berprestasi tinggi EZI dan menampilkan gabungan kuasa, kawalan serta ciri keselamatan moden dalam pakej yang kompak.

Model ini menggabungkan prestasi tinggi, teknologi pintar dan keupayaan tunggangan serba guna untuk kegunaan bandar serta perjalanan jarak jauh.

Rekaan scrambler moden

Dari aspek penampilan, HYPESCRAM menggabungkan elemen scrambler moden dengan rekaan yang kompak dan sasa.

Lampu utama serta lampu belakang LED berbentuk bulat memberikan identiti retro yang tersendiri, sementara penyerap hentak belakang boleh laras dengan pilihan suspensi gas membantu meningkatkan keselesaan tunggangan.

Sistem suspensi hidraulik turut digunakan bagi memastikan kestabilan dan kawalan lebih baik ketika menempuh permukaan jalan yang tidak rata.

Motor tengah 9kW, kelajuan maksimum 120km/j

Nadi penggerak HYPESCRAM terdiri daripada motor elektrik jenis tengah (mid-mounted motor) dengan kuasa dinilai (rated) 9kW dan berupaya mencecah kelajuan maksimum 120km/j. 

Kuasa tersebut disalurkan menerusi dua unit bateri litium-ion 72V35Ah yang memberikan jarak gerak sehingga 130 kilometer pada kelajuan malar 45km/j.

Untuk motosikal biasa, angka tersebut tiada yang istimewa namun pakej yang bagus bagi motosikal elektrik.

Dengan berat hanya 150kg dan jarak roda 1,435mm, HYPESCRAM direka untuk menawarkan kestabilan dan kawalan yang tinggi termasuk ketika melalui permukaan jalan tidak rata.

Dimensi keseluruhan motosikal itu ialah 2,120mm panjang, 810mm lebar dan 1,100mm tinggi, manakala ketinggian pelana ditetapkan pada 790mm.

Sistem bantuan tunggangan dan keselamatan pintar

Bagi meningkatkan keyakinan penunggang, HYPESCRAM dilengkapi sistem pemantauan pintar yang boleh merangkumi kamera hadapan untuk rakaman perjalanan.

Bergantung kepada konfigurasi, ia juga boleh didatangkan dengan radar belakang yang menawarkan fungsi amaran pelanggaran sisi serta cermin elektronik bagi meningkatkan kesedaran terhadap keadaan sekeliling.

Sistem kawalan turut menawarkan beberapa mod tunggangan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Selain itu, motosikal ini turut menyokong pelbagai fungsi bantuan termasuk:

  • Reverse Assist (bantuan mengundur)
  • Walking Assist (bantuan menolak motosikal)
  • Hill Descent Control (kawalan menuruni bukit)
  • Hill-Hold Parking (penahan kenderaan di cerun)
  • Traction Control System (TCS) untuk versi motor tengah

Sistem brek menggunakan cakera depan dan belakang yang dipadankan dengan ABS dua saluran, manakala tayar cengkaman tinggi bersaiz 17 inci membantu meningkatkan kawalan motosikal.

Paparan TFT 5 inci dan sambungan pintar

Di bahagian kokpit, HYPESCRAM dilengkapi paparan TFT berwarna bersaiz lima inci yang memaparkan maklumat tunggangan secara jelas.

Paparan tersebut turut menyokong paparan imej undur serta fungsi Wi-Fi screen casting untuk navigasi.

Bagi memudahkan akses, motosikal ini menawarkan fungsi one-touch start bersama beberapa kaedah nyahkunci termasuk:

  • Kunci kawalan jauh
  • Pengesanan jarak dekat telefon pintar
  • Akses jarak jauh menerusi aplikasi
  • Kunci mekanikal sebagai sandaran

Sistem elektronik motosikal ini turut menyokong fungsi diagnostik, amaran pintar dan pelarasan parameter tunggangan mengikut keperluan pengguna.

Spesifikasi EZI HYPESCRAM

  • Motor elektrik jenis tengah (Mid Motor)
  • Kuasa: 9kW
  • Bateri: 72V35Ah × 2 litium-ion
  • Kelajuan maksimum: 120km/j
  • Jarak gerak: 130km (pada kelajuan malar 45km/j)
  • Dimensi (P × L × T): 2,120 × 810 × 1,100mm
  • Jarak roda: 1,435mm
  • Ketinggian pelana: 790mm
  • Suspensi hidraulik
  • Brek cakera depan dan belakang dengan ABS
  • Tayar depan: 110/80-17
  • Tayar belakang: 140/70-17
  • Paparan TFT berwarna 5 inci
  • Sudut pendakian maksimum: sehingga 30 darjah
  • Berat: 150kg

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here