Utama Berita Automotif “Banyak jenama China tidak akan bertahan lama,” eksekutif Leapmotor

“Banyak jenama China tidak akan bertahan lama,” eksekutif Leapmotor

1

Ketibaan berpuluh-puluh jenama automotif baharu dari China ke pasaran antarabangsa diramal tidak akan bertahan lama dengan sebahagian besarnya berdepan risiko gulung tikar akibat gagal membina ekosistem perniagaan yang mampan.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Komersial Antarabangsa Leapmotor bagi Eropah, Danilo Annese yang meramalkan hanya segelintir pengeluar kenderaan dari negara tembok besar itu mampu kekal bersaing dalam tempoh jangka panjang.

“Saya fikir [tidak] akan ada banyak jenama yang bertahan. Tetapi saya tidak mahu memberikan sebarang angka khusus,” kata Annese ketika mengulas mengenai tahap keyakinan pembeli luar negara terhadap kelangsungan operasi jenama baharu dari China.

Kenyataan beliau hadir ketika jenama China terus menguasai pasaran di peringkat global termasuk di Australia yang mana BYD, GWM, MG dan Geely berjaya menembusi senarai 10 jenama paling laris sepanjang Ogos 2026.

Pada masa sama, gelombang pendatang baharu seperti Leapmotor, Xpeng, Deepal, Zeekr, Denza dan GAC terus agresif membina rangkaian pengeluaran dan bilik pameran tempatan.

Namun, Annese menegaskan bahawa kejayaan jenama gergasi tidak menjamin kelangsungan hidup pendatang baharu jika volum jualan gagal menyokong kos operasi rangkaian pengedar, bekalan alat ganti, liabiliti jaminan serta pembangunan model baharu.

Beliau tidak memetik mana-mana nama jenama yang dijangka akan meninggalkan pasaran Australia atau pasaran yang lain.

TIGA TERAS UTAMA KELANGSUNGAN JENAMA 

Bagi meyakinkan pembeli dan memastikan kelangsungan perniagaan jangka panjang, Annese menggariskan tiga tiang utama yang wajib dipatuhi oleh mana-mana pengeluar automotif baharu:

  1. Rangkaian Pengedar Mapan : Kerjasama dengan rangkaian peruncit tempatan yang berpengalaman bagi memberi kredibiliti awal sebelum jenama dikenali.
  2. Sokongan Alat Ganti Boleh Dipercayai : Jaminan kebolehdapatan komponen jualan selepas jualan secara pantas (Leapmotor menyasarkan 90 peratus alat ganti tiba dalam 24 jam).
  3. Kestabilan Kitaran Produk : Mengelakkan tabiat menukar spesifikasi model terlalu kerap yang boleh merosakkan nilai jualan semula. 

Annese menjelaskan bahawa kebolehdapatan alat ganti adalah perkara yang sangat penting. 

Leapmotor International mendakwa kira-kira 90 peratus daripada alat ganti yang diperlukan boleh didapati dalam tempoh 24 jam di seluruh wilayah operasinya manakala kebolehdapatan umum di Eropah adalah antara 98 hingga 99 peratus.

Annese memberi amaran bahawa tindakan sebilangan jenama China yang kerap mengubah kemasan peralatan kenderaan setiap beberapa bulan boleh mengelirukan pengguna dan merosakkan pasaran terpakai.

Situasi pasaran eksport berbeza dengan pasaran domestik China yang pelanggan luar negara umumnya membeli kenderaan secara pembiayaan atau pajakan yang sangat bergantung kepada nilai sisa. 

Atas faktor itu, Leapmotor International memutuskan untuk melangkau kemas kini terbaharu model B10 bagi pasaran eksport termasuk seni bina elektrik 800V daripada terus menggantikan model yang baru berada di bilik pameran.

“Jenama yang mampu bertahan ialah mereka yang boleh membuktikan keupayaan menyokong kenderaan selepas jualan pertama, melindungi pelanggan sedia ada dan membina perniagaan runcit mampan berbanding sekadar melancarkan sebuah lagi kenderaan pada harga murah,” tegasnya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here