Utama Berita Automotif Lynk & Co 900 terbakar, pengedar dakwa punca dari power bank terpelanting

Lynk & Co 900 terbakar, pengedar dakwa punca dari power bank terpelanting

5

Insiden kebakaran melibatkan sebuah SUV plug in hibrid (PHEV) flagship, Lynk & Co 900 di Hangzhou, China mencetuskan spekulasi berhubung tahap keselamatan bateri voltan tinggi kenderaan berkenaan.

Pihak pengedar tempatan jenama itu tampil menepis dakwaan insiden berpunca daripada pelepasan terma bateri, sebaliknya mengaitkan kejadian dengan objek luar yang berada di bawah kenderaan tersebut.

Kronologi Kebakaran & Penjelasan Pengedar

Insiden yang berlaku di kawasan jalan komersial pada jam 4.06 petang, 9 September lalu itu menunjukkan kepulan asap serta nyalaan api di bahagian bawah SUV sebelum kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota bomba. 

Pengedar rasmi Lynk & Co Hangzhou Lingyue mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan situasi sebenar yang mana kebakaran tercetus berpunca daripada power bank. 

“Pemilik kenderaan memaklumkan bahawa seorang pejalan kaki secara tidak sengaja menjatuhkan lalu tersepak sebuah power bank ke bawah SUV berkenaan sebelum kebakaran bermula.

“Pihak kami menafikan bahawa bateri traksi voltan tinggi yang terbakar dan keputusan muktamad masih tertakluk kepada Sijil Kemalangan Kebakaran rasmi,” menurut kenyataan.

Spesifikasi Bateri & Perlindungan Casis Lynk & Co 900

Model 900 merupakan SUV mewah menggunakan seni bina modular SPA Evo milik Geely Group yang mana pek bateri dipasang pada bahagian bawah casis kenderaan.

Ia menggunakan dua pilihan kapasiti bateri mengikut varian iaitu 44.9 kWh (CALB) dan 52.4 kWh (CATL Freevoy). 

Struktur bawah kenderaan umumnya dilengkapi pelindung bukan logam. Sebarang sumber haba atau kejutan elektrik daripada objek luar seperti power bank berisiko membakar komponen persekitaran casis tanpa menembusi sel bateri utama.

Siasatan Bomba Masih Berjalan

Meskipun pengedar mendakwa power bank sebagai punca utama berdasarkan keterangan pemilik, tiada sebarang data telemetri bateri atau laporan forensik rasmi yang dikeluarkan secara awam buat masa ini.

Punca sebenar kebakaran sama ada melibatkan kegagalan traksi bateri, tindak balas objek luar mahupun komponen casis yang lain kini bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan muktamad oleh Jabatan Bomba Perbandaran Hangzhou.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here