Utama Berita Automotif Eksport makin agresif, BYD tambah 10 kapal pengangkut

Eksport makin agresif, BYD tambah 10 kapal pengangkut

1

Pengeluar kenderaan tenaga baharu (NEV) gergasi dari China, BYD dilaporkan mengambil langkah agresif untuk menguasai rangkaian logistik marin apabila memesan 10 buah kapal pengangkut kenderaan dengan kapasiti 9,200 unit setiap satu.

Langkah strategik itu bakal meluaskan saiz armada kapal pengangkut BYD kepada 18 buah dengan jumlah kapasiti gabungan melebihi 130,000 CEU. 

Kapal-kapal baharu tersebut akan dibina oleh China Merchants Industry di limbungan Jinling dan Haimen dengan jadual penghantaran ditetapkan 2027 hingga 2029, mengikut laporan berkenaan.

Meskipun laporan industri maritim mengesahkan tempahan tersebut, tiada pengumuman rasmi berkaitan nilai kontrak dikeluarkan oleh BYD atau pihak pembina kapal.

Kapal-kapal tersebut digambarkan sebagai pengangkut kereta dan trak tulen yang direka khas untuk membawa kenderaan. Kapasitinya diukur dalam unit setara kenderaan (CEU) dan bukannya jumlah tetap kenderaan tanpa mengira saiz.

Pesanan terbaharu berkenaan dilaporkan akan menambah 92,000 CEU kapasiti pengangkutan. 

BYD melengkapkan fasa awal armadanya yang terdiri daripada lapan buah kapal pada September 2025 apabila BYD Jinan mula beroperasi. Kapal-kapal lain dalam fasa tersebut ialah Explorer No.1, Hefei, Changzhou, Shenzhen, Xi’an, Changsha dan Zhengzhou.

Kesemua kapal pengangkut kereta tersebut merupakan kapal jenis RoRo (Roll-on/roll-off) yang mana kenderaan boleh dipandu terus masuk dan keluar tanpa perkhidmatan pemunggahan kontena.

Lapan buah kapal terawal BYD mempunyai kapasiti antara 7,200 hingga 9,000 buah kereta, bergantung kepada jenis kapal.

Memandangkan armada asal lapan buah kapal RoRo tersebut dilaporkan mempunyai kapasiti untuk mengeksport 1 juta kereta setahun, penambahan 10 buah kapal baharu itu dianggarkan akan meningkatkan kapasiti eksport BYD sehingga 2.5 juta kereta setahun.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here