Dari pejabat ke litar lumba: Akio Takeyama bakal beraksi dalam S1k

1734

Nampaknya adrenalin perlumbaan Vios Challenge dalam Toyota Gazoo Racing Festival tidak cukup untuk memuaskan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama. Beliau akan berentap dalam satu lagi siri perlumbaan, iaitu Sepang 1,000km (S1k).

Takeyama akan beraksi dalam perlumbaan ketahanan jarak jauh itu buat pertama kali hujung minggu ini, memandu Toyota Vios di bawah pasukan Team Toyota GAZOO Racing Malaysia.



Jentera Vios itu merupakan salah satu dari dua kereta yang disediakan oleh Wing Hin Motorsports, satu nama yang tidak asing lagi dalam sukan permotoran negara ini.

Kereta-kereta ini akan berentap dalam kelas premier MTC untuk kenderaan produksi bawah 1,600cc menggunakan enjin dan casis Toyota Vios versi perlumbaan yang disediakan oleh TRD.

Akio Takeyama berkata: “Memandangkan hanya pernah berlumba dalam Vios Challenge selama dua musim setengah, menyertai S1k pastinya satu pengalaman baharu dan mengujakan buat saya.”

Takeyama akan berganding dengan Akira Iida, lagenda perlumbaan touring car Jepun dan pelumba LeMans 24 jam, dan memandu bersama seorang lagi pelumba Vios Challenge, iaitu William Ho.

Sementara itu, satu lagi kereta akan berlumba di bawah nama pasukan Wing Hin sendiri, menampilkan pelumba Boy Wong dan Dannies Ng.

Perlumbaan Sepang 1,000km telah menjadi antara acara utama dalam kalendar perlumbaan negara ini. Grid perlumbaannya menyaksikan kira-kira 70 jentera berasaskan model produksi yang dijual di Malaysia.

Perlumbaan di litar 5.45km itu akan mengambil masa kira-kira 8 jam dengan kereta teratas dijangka melengkapkan lebih 180 pusingan litar itu.

Perlumbaan ketahanan S1k akan bermula dengan rolling start sekitar tengahari 23 November 2019 ini, dan bendera penamat dijangka dikibarkan sekitar jam 9 malam.  

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here