Pandu uji: Toyota Vios 1.5G – God Car yang lebih ranggi

7397

Ahh Toyota Vios, siapa yang tidak kenal. Ia boleh diibaratkan raja jugalah di jalanraya, kerana pelbagai sebab yang saya tak ingin senaraikan. Anda boleh fikirkan sendiri.

Vios ialah ibarat Myvi untuk kelas masing-masing. Dengan itu, ada juga yang menggelar Vios sebagai “God Car” kerana ia tidak mudah rosak. Kiranya tuang saja minyak, terus jalan. Dan ini adalah satu ciri yang baik sebenarnya, seperti model-model lain Toyota.



Untuk 2019, Toyota memperkenalkan Vios edisi terbaharu. Namun dengan pendekatan sedikit berbeza. Penggayaannya tampak lebih ranggi dan dinamik, dan dilihat seperti mampu menarik golongan lebih muda.

Vios generasi awal menjadi model terlaris dalam segmennya, cuma beberapa tahun kebelakangan ini pesaingnya, Honda City seakan merampas takhta itu.

Jadi mampukah Vios 2019 merampas semula takhta sedan terlaris segmen-B? Dan adakah ianya masih God Car?

Luaran

Oh ya, Vios ini walaupun dikatakan serba baharu, ia sebenarnya tidaklah serba baharu sangat. Platform dan enjinnya semua masih yang sama. Tetapi pelbagai penambahbaikan menyeluruh dilakukan pada banyak aspek.

Jadi bolehlah dikatakan ia sebuah versi major facelift. Salah satu penambahbaikan adalah di penggayaan luaran.

Muka depan Vios ini telah dirombak dengan gaya lebih agresif. Nampak lebih “sibuk” pun ada, kerana terlalu banyak elemen. Lampu depan kini lebih nipis, dan posisi DRL LED diubah ke atas sedikit.

Di tepi, terdapat skirting yang agak menarik. Dan unik pada varian 1.5G ini ialah rim aloi 16-inci rekaan baharu. Varian 1.5E dan 1.5J mendapat rim 15-inci.

Paling menarik bagi saya adalah di belakang Vios ini. Lampu belakang LED, penutup but dan spoiler nipis disusun kemas. Hasilnya, kereta nampak lebih lebar dan lebih mahal dari harga sebenarnya.

Dalaman

Pembaharuan utama di dalam meliputi papan pemuka yang direka semula, namun beberapa permukaan masih lagi menggunakan plastik kasar. Ia kurang penghalusan, tetapi sebenarnya mampu bertahan lama dan lebih tahan lasak.

Panel penghawa dingin Vios kini adalah digital automatik. Saya sukakan operasi penghawa dingin baharu ini yang masih mempunyai butang fizikal, dan bukannya skrin sesentuh sahaja. Cara ini lebih praktikal.

Unit hiburan adalah sistem DVD-AVX dengan skrin 6.8-inci. Ia mudah digunakan, tetapi grafiknya nampak agak kurang moden.

Tempat duduk depan dan belakang mempunyai ergonomik yang baik dan ruang yang luas. Di belakang khususnya, ruang kaki dan kepala sangat luas. Cuma tempat duduk belakang tengah agak tinggi dan mungkin kurang sesuai untuk perjalanan jauh.

Enjin dan prestasi

Seperti Vios sebelum ini, Vios baharu 2019 ini dipacu oleh enjin sama 1.5-liter Dual-VVTi yang menjana 107PS dan 141Nm tork. Transmisi pula ialah CVT dengan 7-kelajuan maya.

Seperti pada sebelum ini juga, enjin ini sangat senyap dan mempunyai cukup kuasa untuk kebanyakan keadaan. Melainkan anda sering tercabar dengan geng-geng touge pagi Ahad di Karak, yang itu mungkin anda terasa Vios ini underpowered.

Untuk transmisinya, CVT kali ini terasa lebih responsif dan lebih semulajadi. Pada kelajuan rendah, enjin dan transmisi bekerjasama memberi tindakbalas cepat sebaik sahaja pedal minyak ditekan. Penukaran gear menggunakan mod manual pada tombol gear atau paddleshifter juga memberi kepuasan.

Namun pada kelajuan lebih tinggi seperti 120km/h misalnya, dan anda ingin menambah kelajuan secara mendadak, maka sifat CVT itu semakin terserlah. Masih boleh terasa “kesan gelang getah” (rubber band effect) itu.

Dari segi transmisi dan pengendalian, sterengnya terasa agak bergetah dan tidak memberi begitu banyak maklumbalas, tetapi berat dan feel­-nya mencukupi. Vios mempunyai kerangka badan yang teguh untuk suspensinya bekerja dengan baik.

Cuma talaan suspensi dan jenis tayar digunakan mengehadkan prestasi Vios untuk aspek ini. Tapi ya lah, tengoklah nanti mesti ramai yang meng­-upgrade Vios mereka nanti dengan rim dan tayar lebih sporti.

Suspensinya lebih lembut dari Honda City. Ia lebih selesa untuk penumpang, namun kurang kepuasan kepada pemandu. Di jalan beralun dan selekoh panjang, boleh terasa depan dan belakang berbuai dengan keadaan yang sukar dijangka.

Kenderaan masih terkawal, cuma kurang memuaskan.

Keselamatan

Vios sebelum ini meningkatkan penanda aras bagi sedan segmen-B dengan memberikan Vehicle Dynamic Control (VSC) dan Traction Control (TRC). Dan untuk kali ini, ia sekali lagi memberikan tahap keselamatan lebih baik.

Vios kini ditawarkan dengan Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Operasi BSM-nya boleh dikatakan masih seperti terlalu asas dan sekadar cukup syarat, terasa seperti kit tambahan aftermarket.

Tetapi ini cukup baik untuk memberikan pembeli dalam julat harga ini akses kepada sistem keselamatan lebih maju dan terkini.

Kata akhir

Toyota Vios 2019 mengekalkan perkara-perkara baik pada Vios sebelum ini dan menambah baik beberapa aspek lain, memberikannya nilai yang lebih untuk wang.

Vios mampu memberikan tahap kesenyapan kabin dan keselesaan terbaik dalam kelasnya. Aspek kepuasan pemanduan pula mungkin boleh diperhalusi lagi.

Apa pun, ia masih boleh menjadi God Car dengan penggayaan lebih ranggi. Dan kami tidak sabar untuk melihat apa yang ditawarkan dan ditambahbaik pada Corolla Altis pula nanti.

 

Spesifikasi Toyota Vios 1.5G

Harga: RM87,300

Enjin: 1.5-liter 4-silinder Dual-VVTi

Kuasa maksima: 107PS @ 6,000 rpm

Tork maksima: 140Nm @ 4,200 rpm

Transmisi: CVT

Berat: 1,145kg

Sistem keselamatan: 7 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, Traction Control, ISOFIX, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here