Toyota Vios generasi ke-3 dilancar – dari RM77k, jaminan 5-tahun

3676

UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini melancarkan Toyota Vios serba baharu, dengan reka bentuk lebih segar, lebih ciri dan pemanduan lebih menyeronokkan.

Anda mungkin telah melihat Vios baharu ini di pameran KL International Motor Show 2018 pada November lepas. Vios ini juga merupakan model pertama yang dipasang di kilang baharu Toyota di Bukit Raja.



Vios generasi ke-3 ini ditawarkan dalam tiga varian dan harga bermula pada RM77,200. Tiada lagi Vios varian manual. Maklumat lanjut harga adalah seperti di bawah:

  • Vios 1.5J (AT) – RM77,200
  • Vios 1.5E (AT) – RM81,200
  • Vios 1.5G (AT) – RM87,300

*harga atas jalan tanpa insuran, pendaftaran persendirian.

Setiap pembelian Vios datang dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan. Pemilik juga diberikan keahlian 24SEVEN percuma untuk tahun pertama.

Rekabentuk lebih segar

Toyota telah memberikan Vios lampu depan yang direka semula, DRL LED sebagai standard dan lampu kabus. Fungsi Follow Me Home juga adalah standard.

Muka depan Vios ini juga kini terdapat rongga kemasukan udara yang lebih menyerlah serta rekaan bampar depan baharu.

Untuk lampu belakang, Vios G dan E mendapat unit lampu kombinasi LED. Unik kepada Vios 1.5 G ialah rim aloi 16-inci.

Ruang dalaman serba baharu

Ruang dalaman juga dikatakan serba baharu. Namun dari segi bahan yang digunakan, masih jelas ia tipikal sebuah Toyota, yang dirasakan tahan lasak dan dapat bertahan lama.

Varian G dilengkapi dengan kemasan kulit di beberapa bahagian kabin serta untuk tempat duduknya. Standard pada semua Vios kini ialah sistem pendingin hawa automatik.

Paparan maklumat pemanduan menggunakan Multi-Info Display Optitron bersaiz 4.2-inci dengan TFT (Vios G sahaja). Vios G dan E juga dilengkapi dengan unit DVD-AVX dengan skrin 6.8-inci dan USB mirroring.

Ciri keselesaan lain termasuklah Smart Entry dengan butang Push Start, Panoramic View Monitor, cermin depan akustik, port USB, Digital Video Recorder serta filem solar dan keselamatan.

Enjin dan transmisi

Vios dipacu oleh enjin 1.5-liter DOHC dengan Dual VVT-I dipadankan pada CVT 7-kelajuan dengan Sequential Shift.

Enjin ini adalah unit yang sama pada Vios sebelum ini dan ia menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm.

Terdapat juga butang Sport dan Eco untuk talaan pemanduan berbeza.

Keselamatan

Toyota Vios generasi ketiga ini tetap dilengkapi ciri keselamatan yang cukup menyeluruh. Ini termasuklah 7 beg udara, VSC, TRC, Hill Start Assist, ABS, EBD, Brake Assist dan ISOFIX.

Blind Spot Monitor dengan Rear Cross Traffic Alert hanya untuk Vios G dan E, dan hanya varian G yang didatangkan dengan brek belakang cakera.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here