
Kia PV5 merupakan sebuah van komersial berkuasa elektrik yang diperkenalkan sejak tahun 2025.
Dibina berdasarkan platform E-GMP.S, Kia PV5 boleh didapati dalam versi van penumpang, van kargo, serta versi yang lebih mesra untuk kegunaan orang kelainan upaya (OKU).
Kini, Kia PV5 ditawarkan dalam bentuk Chassis Cab yang berfungsi sebagai sebuah kanvas kosong untuk pelbagai jenis bentuk dan binaan badan.
Sama seperti versi van penumpang dan kargo, PV5 Chassis Cab mengekalkan bentuk muka hadapan yang futuristik.
Cuma bahagian belakang hanya menampilkan rangka asas serta lampu yang dipasang terus pada bahagian tersebut.
Kia memberikan kebebasan kepada pemilik untuk memadankan apa jua bentuk binaan badan aftermarket seperti peti sejuk beku, bengkel bergerak, bed pikap, tipper serta ambulans.
Kia juga pernah mempamerkan PV5 versi food truck lengkap dengan dapur terbina dalam.
Dengan bajet yang bertepatan, tidak menghairankan apabila PV5 Chassis Cab ini sesuai diubah menjadi sebuah camper truck.
Kia juga mengesahkan lebih banyak pakej ubah suai akan diperkenalkan tahun ini melalui kerjasama dengan rakan UK, TGS Automotive Group.
Ruang kabin pula hanya menempatkan dua tempat duduk sahaja, namun tetap hadir dengan ciri moden seperti skrin kluster digital 7.5 inci, skrin infotainmen 12.9 inci, fungsi pemanas tempat duduk dan roda stereng, slot pengecasan tanpa wayar dan pakej ADAS.
Di pasaran UK, Kia PV5 Chassis Cab ditawarkan dalam konfigurasi Long Range, menggunakan tetapan motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 161 hp.
Pek bateri 71.2 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 416 km.
Terdapat juga penawaran PV5 Chassis dengan pek bateri 51.5 kWh yang dipadankan dengan motor elektrik 120 hp.
Apa yang pasti, kedua-dua versi ini menawarkan had muatan maksimum 1,005 kg, menyamai keupayaan kebanyakan trak pikap diesel bersaiz sederhana.
































