
Leapmotor meneruskan momentum pertumbuhannya apabila mencipta sejarah dengan menghantar lebih 100,000 kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh sebulan buat kali pertama pada Julai 2026.
Pada Julai lalu, pengeluar EV dari China itu berjaya menghantar sebanyak 101,267 kenderaan di seluruh dunia, meningkat 102 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian itu sekali gus menjadikan Leapmotor sebagai syarikat pemula (startup) EV China pertama yang berjaya melepasi paras penghantaran 100,000 unit dalam tempoh sebulan.
Rekod itu gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pengeluar EV yang berkembang paling pantas di negara itu.
Prestasi Julai juga menandakan bulan kelima berturut-turut Leapmotor mencatat pertumbuhan jualan bulanan, meningkat 8.45 peratus berbanding 93,376 unit yang dihantar pada Jun lalu.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, Leapmotor merekodkan penghantaran keseluruhan 457,754 unit, iaitu peningkatan 68.42 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Terus Perkukuh Barisan Model
Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, Leapmotor terus memperluaskan penawaran produk di China.
Pada Jun lalu, syarikat itu memperkenalkan versi dikemas kini bagi model C10, C11 dan C16, selain melancarkan MPV pertama jenama itu, D99.
Memasuki Julai, Leapmotor turut melancarkan sedan B01 dan SUV B10 versi terkini yang masing-masing menerima varian jarak pemanduan lebih jauh serta menggunakan platform pengecasan pantas 800V.
Pada masa sama, syarikat turut membuka tempahan awal model hatchback elektrik kompak baharu, A05, yang bakal bersaing dalam antara segmen EV paling kompetitif di China.
Leapmotor A05 (B03) Tampil Lebih Pintar dan Praktikal
Dikenali sebagai A05 di China dan B03 untuk pasaran global, model baharu itu dibangunkan khusus untuk pengguna muda di bandar yang mahukan gaya moden, teknologi pintar dan praktikaliti penggunaan harian.
A05 dibangunkan berteraskan empat konsep utama, iaitu Beautiful to Look At, Easy to Drive, Fun to Use serta Reassuringly Safe & Smart.
Model itu memiliki dimensi:
- Panjang 4,175 mm
- Lebar 1,790 mm
- Tinggi 1,560 mm
- Jarak roda 2,605 mm
Walaupun bersaiz kompak, A05 menawarkan kabin yang luas dengan konfigurasi tempat duduk fleksibel, pelbagai ruang simpanan serta ruang but dua tingkat bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden.
Jarak Pemanduan Sehingga 510 KM
Dari segi prestasi, Leapmotor A05 menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 510 km mengikut piawaian WLTP (tertakluk kepada homologasi akhir).
Model itu turut dilengkapi keupayaan pengecasan pantas, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) serta pengalaman digital generasi baharu yang dikuasakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Berpotensi Ke Pasaran Malaysia?

B03 ialah sebuah hatchback elektrik, manakala B03X (dikenali sebagai A10 di China) ialah SUV elektrik yang dibangunkan menggunakan platform dan rangkaian kuas yang sama.
Perbezaan utama ialah B03X mempunyai gaya SUV dengan kedudukan pemanduan lebih tinggi, jarak kelegaan bumi yang lebih tinggi serta pelindung arka roda.
B03 pula menampilkan rekaan hatchback yang lebih rendah dan lebih sesuai untuk pemanduan di bandar.

B03X difahamkan berada dalam perancangan untuk Malaysia dan terdapat kemungkinan B03 turut diperkenalkan pada masa akan datang.
Sekiranya dilancarkan di Malaysia, Leapmotor B03 dijangka melengkapkan penawaran EV kompak jenama itu, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk kegunaan harian.


































