
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melangkah ke era baharu pengurusan pembiayaan dan logistik lapangan terbang dengan memperkenalkan fasiliti e-hailing yang dipertingkatkan di Aras 1, Bangunan Terminal Utama (MTB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Langkah ini bermatlamat untuk menaik taraf pengalaman ketibaan penumpang, mengoptimumkan kelancaran trafik, kawasan pengambilan, serta membanteras operasi perkhidmatan e-hailing tidak sah atau ulat.
Integrasi Kamera LPR & Skrin PIDS: Jejak Kenderaan Sepantas Minit
Salah satu kelainan utama dalam penaiktarafan ini ialah pelaksaan kemudahan berteknologi tinggi yang membolehkan penumpang menjejak pergerakan pemandu secara masa nyata :
- Kiosk Layan Diri & E-Hailing Lounge: Penumpang kini boleh menunggu di ruang menunggu khas yang lebih selesa dengan hanya memasukkan nombor plat kenderaan e-hailing yang ditempah menerusi kiosk layan diri yang disediakan.
- Teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran (LPR): Kamera automatik LPR diletakkan di pintu masuk ruang pengambilan untuk mengesan dan membaca nombor plat kenderaan e-hailing yang baru tiba di laluan tersebut.
- Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS): Sebaik sahaja nombor plat disahkan oleh kamera LPR, maklumat ketibaan dan lokasi petak pemandu akan terus dipaparkan secara langsung pada skrin gergasi PIDS di ruang menunggu. Ini membolehkan penumpang bergerak ke petak pengambilan tepat pada masanya.
Pihak Malaysia Airports juga menyusun semula petak letak kenderaan supaya proses pengambilan penumpang menjadi lebih berstruktur bagi mengelakkan kesesakan.
Selain itu, anggota marsyal lapangan turut ditugaskan secara fizikal di lokasi berkenaan untuk mengawal aliran trafik kenderaan agar kekal lancar, di samping memberikan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang.
Pelaksanaan Caj Masuk RM3 & Had Masa 10 Minit

- Caj Masuk RM3: Setiap kenderaan e-hailing yang memasuki kawasan pengambilan Aras 1 akan dikenakan caj kemasukan sebanyak RM3.
- Had Masa Menunggu (10 Minit): Pemandu diberikan tempoh had masa maksimum selama 10 minit sahaja di kawasan bahu jalan.
- Caj Penalti Masa Tambahan: Mana-mana kenderaan e-hailing yang melengahkan masa dan melebihi had 10 minit yang ditetapkan akan dikenakan caj penalti tambahan bagi mengelakkan kesesakan trafik dan memastikan ketersediaan petak bagi pemandu lain. Namun, pihak Malaysia Airports tidak memperincikan jumlah sebenar denda penalti tersebut di dalam kenyataan rasminya.
Langkah penyusunan semula ini dibangunkan hasil sesi libat urus strategik pihak pengurusan lapangan terbang bersama syarikat pengendali e-hailing, Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), serta mengikut syor Jawatankuasa Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan (NAFWC).



































