
Mazda CX-30 adalah sebuah SUV yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden, terutama bagi golongan ibu muda yang mencari kenderaan serba boleh, bergaya, dan praktikal.
Dengan reka bentuk yang sporty, teknologi keselamatan termaju dan ruang dalaman yang selesa, CX-30 menawarkan keseimbangan sempurna antara fungsi dan estetika.
Saiznya yang kompak begitu sesuai untuk kegunaan harian mahupun menghantar anak kecil ke taska ketika perjalanan ke tempat kerja.
Golongan ibu juga tidak perlu bimbang ingin mencelah dalam trafik yang sesak atau di ruangan parkir.
Mengapa Mazda CX-30 perlu menjadi pilihan golongan ibu?..ini antara kelebihan yang ditawarkan:
1. Rekaan Elegan dan Bergaya
Mazda CX-30 menampilkan reka bentuk KODO yang moden dan sporty. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk ibu-ibu muda yang mengutamakan gaya tanpa mengorbankan fungsi.
Bahkan rekaan badan yang segar dan kekinian menerusi lampu depan yang ‘slim’ dan gril lebih besar tidak terlalu mencerminkan kesan ’emak-emak’.
Ditambah dengan pilihan warna yang ‘chic’ misalnya Soul Red Crystal, Machine Gray dan Deep Crystal Blue.
2. Saiz Kompak dan Praktikal
Mazda CX-30 lebih besar daripada CX-3 dan lebih kecil berbanding CX-5. Saiz CX-30 yang kompak memudahkan pergerakan di kawasan bandar, seperti lorong sempit dan tempat parkir yang padat.
Ini sesuai untuk ibu dengan keluarga kecil yang perlu memandu ke sekolah mahupun taska, pasar raya atau tempat kerja.
3. Ruang Dalaman yang Luas
Walaupun saiznya kompak, CX-30 menawarkan ruang kabin yang selesa, cukup untuk keluarga kecil.
Walaupun garisan bumbung yang rendah dan ruang kaki yang minimum, sebenarnya ruangan barisan kerusi belakang masih ideal bagi saiz badan dan ketinggian pengguna Asia Tenggara.
Selain itu, barisan tersebut juga boleh menempatkan dua kerusi kanak-kanak dengan selesa.
Terdapat sauh penambat atas di bahagian tempat duduk belakang, yang memberikan fleksibiliti untuk meletakkan tempat duduk kanak-kanak di posisi tengah serta kiri dan kanan.
Dua poin Isofix yang disediakan juga mudah disambungkan. Tetapi, sekiranya anda mempunyai anak yang lebih besar, keselesaan di barisan belakang jelas berbeza mengikut umur mereka.
Golongan ibu juga tidak perlu bimbang dengan adanya ciri child lock pada pintu belakang yang menjaga keselamatan anak kecil saat pemanduan.
Ruang but yang luas juga memudahkan simpanan barang seperti kereta sorong bayi, beg belanja, dan barangan keperluan harian.
4. Bentangan kabin yang praktikal
Mazda menampilkan papan pemuka yang minimum menggabungkan penggayaan konvensional dan moden.
Masa kini, kebanyakan pengeluar meletakkan fungsi kawalan kenderaan pada skrin infotainmen yang mana mengganggu fokus pemanduan.
Dengan adanya butang dial fizikal di belakang gear memudahkan pencarian menu dan tetapan pada skrin infotainmen.
Bahkan, butang kawalan pendingin hawa yang diletakkan di bawah skrin hiburan adalah salah satu ciri peralatan yang perlu dihargai masa kini.
Ini kerana rata-rata pengeluar meletakkan tetapan suhu pada skrin infotainmen. Apabila perlu melaraskan suhu dan tetapan kipas cukup hanya pusingkan tombol kawalan.
Jari tidak perlu lagi membuat carian pada skrin infotainmen seperti mana kenderaan lain. Mazda CX-30 menawarkan corong pendingin hawa buat penumpang belakang yang mana ciri penting terutamanya bagi anak kecil.
Ruangan simpanan di dalam kabin adalah padat tetapi sangat praktikal, terutamanya di bahagian depan yang boleh memuatkan semua yang anda inginkan pada sisi pintu dan tempat telefon pada konsol tengah.
5. Kualiti Pemanduan yang Selesa
Bahagian terakhir ini paling dinantikan terutamanya ibu muda yang sesekali ingin merasakan sensasi pemanduan sporty.
Dengan enjin Skyactiv-G dan sistem suspensi yang baik, CX-30 memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan selesa, sesuai untuk perjalanan pendek di bandar atau perjalanan panjang bersama keluarga.
Ia terasa pada karakter enjin yang sangat lancar dan stereng yang sangat tepat. Dengan teknologi G-Vectoring Control Plus (GVC) menawarkan pengendalian yang halus dan stabil, mengurangi risiko gerakan mendadak yang boleh buatkan anak lebih selesa.
Stereng Mazda CX-30 ini juga memberikan respon yang memuaskan, perbezaan dapat dirasa yang mana semasa membelok sambil brek, ia agak berat.
Manakala semasa membelok sambil menekan minyak, ia lebih ringan. Ia satu sistem yang sangat baik bagi stereng jenis elektrik dan memudahkan golongan ibu.