Kami dah pandu Mazda CX-30 2020 baharu, crossover paling sporti [+video]

3554

Sejurus selepas pelancaran Mazda CX-30, kami menyertai pandu uji media untuk crossover terbaharu Mazda itu.

Ya, ia lebih kepada crossover dan bukan SUV. Ia diletakkan di antara Mazda CX-3 (juga crossover) dan CX-5 (SUV), tetapi dibangunkan dari platform/pelantar Mazda 3.



Sebab itulah ia tidak terlalu tinggi dan mempunyai rekabentuk sangat sleek dan sporti seperti Mazda 3 Liftback. Elemen sporti itu juga bukan pada bentuknya, tetapi juga dizahirkan pada pemanduan.

Mazda CX-30 akan hadir dalam versi CBU (diimport sepenuhnya) dari Jepun, ditawarkan dalam 3 varian dan harga adalah seperti berikut:

Mazda CX-30 2.0L 2WD – RM143,059.00
Mazda CX-30 2.0L High 2WD – RM164,059.00
Mazda CX-30 1.8 Diesel High 2WD – RM172,943.60

Untuk laporan penuh dari pelancaran dan perincian spesifikasi, jemput baca di sini.

Tetapi dalam artikel ini kami akan kongsikan tanggapan awal kami mengenai CX-30. Semasa sesi itu, kami memandu uji varian 2.0L High 2WD, iaitu varian tinggi dengan enjin petrol SkyActiv-G berkuasa 163hp dan 213Nm tork.

Seperti dalam video, apa yang boleh kami katakan ialah, rasa sporti itu terasa hanya beberapa saat setelah mula bergerak. Ia terasa pada karakter enjin yang sangat lancar dan stereng yang sangat tepat.

Enjin SkyActiv-G naturally-aspirated ini seperti dijangka, langsung tidak keberatan untuk ditekan hingga ke hujung had rpm dan bunyinya tetap halus dan merdu seperti gembira melakukannya.

Dengan padanan transmisi SkyActiv-Drive 6-kelajuan yang bijak dan efisyen, pemanduan agak mengujakan seperti memandu sedan atau hatchback sports.

Stereng pula begitu tepat dan mempunyai nisbah agak laju. Tidak banyak input diperlukan untuk membelok berbanding model-model lain dalam kelasnya.

Stereng Mazda CX-30 ini juga memberikan respon yang memuaskan, perbezaan dapat dirasa dimana semasa membelok sambil brek, ia agak berat. Manakala semasa membelok sambil menekan minyak, ia lebih ringan. Ia satu sistem stereng yang sangat baik bagi stereng jenis elektrik.

Aspek pengendalian pula tiada rungutan, kerana kereta terasa seimbang dan terkawal apabila mula diberikan input lebih tinggi dan agresif. Setelah tamat sesi pemanduan, baru kami terfikir bahawa ia langsung tidak terasa seperti kereta dengan torsion beam di belakang!

Menyentuh sedikit mengenai ruang kabin, secara keseluruhan ia mendapat kemasan dan bahan yang sangat baik dan premium. Cara duduk dalam CX-30 ini juga terasa mendap dan rendah kerana tingkap tepi berada pada paras bahu.

Ruang duduk depan cukup baik, seperti kereta pemandu sebenar. Cuma untuk tempat duduk belakang terasa sedikit sempit, seperti komen rakan media yang bersama kami. Bagi kami ia okey sahaja, namun kami harus setuju apabila agak susah untuk penumpang belakang menyilangkan kaki.

Akhir sekali menyentuh sedikit mengenai cara sistem keselamatannya bekerja, juga cukup baik. Semasa memandu di lebuhraya, apabila cuba menukar lorong tanpa memberi isyarat, roda stereng “cuba menahan” dengan agak kuat mengelakkan pemandu dari tersasar lorong. Pemandu perlu betul-betul tekad untuk “melawannya” tanpa memberi isyarat.

Pengajaran mudah, beri saja isyarat (signal) semasa ingin membelok atau menukar lorong walau apa jenis kenderaan yang anda pandu!

Aspek lain akan kami rungkaikan dalam artikel pandu uji penuh sekiranya kami dapat unit pandu uji dari Mazda nanti. Buat masa ini, kami sangat berpuas hati dan teruja dengan CX-30 ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here