
Jenama KTNS kembali mencuri perhatian peminat dua roda di Malaysia dengan pengenalan model terbaharu, KTNS TT-Classic 150.

Pengenalan model itu dibuat dalam majlis berbuka puasa bersama media di pusat servis dan pejabat urusan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd di Segambut, Kuala Lumpur.

Ditawarkan pada harga RM6,888 – tidak termasuk cukai jalan dan insurans – motosikal bergaya scrambler klasik ini hadir dalam tiga pilihan warna menarik.
- Dark Gold
- Matte Black
- Matte Grey
Rekaan klasik digabungkan dengan sentuhan moden menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian di bandar serta tunggangan santai di laluan ringan luar jalan.

Dari segi kuasa, TT-Classic 150 dikuasakan enjin satu silinder 150cc empat lejang yang mampu menghasilkan 7.8 kW pada 7,500 rpm dan tork maksimum 11.5 Nm pada 5,500 rpm.

Dipadankan dengan transmisi lima kelajuan serta sistem penyejukan cecair, jentera ini dijangka mampu memberi saingan sihat kepada model sama dalam kelasnya.

Ciri praktikal turut menjadi keutamaan dengan penggunaan tayar dwi-guna, suspensi teleskopik hadapan serta penyerap hentak tunggal boleh laras di belakang bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan.

Dengan gabungan gaya klasik, teknologi moden seperti paparan meter LCD berwarna dan lampu LED penuh, kemunculan semula KTNS menerusi TT-Classic 150 dapat memberi pilihan baharu kepada penunggang yang mahukan motosikal serba guna pada harga mampu milik.






























