Mazda CX-30 dilancar secara rasmi, crossover paling hensem? Petrol dan diesel, dari RM143k sahaja

3244

Setelah tiba di bilik pameran Mazda bulan lepas dengan harga cadangan, Mazda hari ini melancarkan CX-30 secara rasmi, sebuah SUV crossover yang sangat hensem dan kemas.

 



Mazda CX-30 akan hadir dalam versi CBU (diimport sepenuhnya) dari Jepun, ditawarkan dalam 3 varian dan harga adalah seperti berikut:

Mazda CX-30 2.0L 2WD – RM143,059.00
Mazda CX-30 2.0L High 2WD – RM164,059.00
Mazda CX-30 1.8 Diesel High 2WD – RM172,943.60

CX-30 sebenarnya dibina dari platform sama dengan Mazda 3, jadi ia mempunyai banyak elemen rekabentuk dari kereta segmen-C itu, termasuklah bahasa rekaan Kodo yang terbaharu.

Persamaannya agak ketara di depan seperti di gril yang besar, diapit oleh oleh lampu depan nipis. Mazda CX-30 turut mendapat garisan karakter di bahagian sisi yang “memanipulasi” cahaya.

Sebagai sebuah crossover/SUV, ia juga dilengkapi dengan panel plastik hitam di sekeliling badan seperti di fender, untuk memberikannya gaya ranggi. Varian terendah akan mendapat rim 16-inci manakala CX-30 2.0G High diberikan rim aloi 18-inci.

Di dalam pula, persamaan CX-30 dengan Mazda 3 lebih jelas, dengan papan pemuka yang seolah-olah diambil terus dari sedan/hatchback itu.

CX-30 mendapat tahap kelengkapan cukup tinggi dimana semua varian mendapat paparan multimedia 8.8-inci dengan kamera undur, Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan Bluetooth, arahan suara dan 8 pembesar suara.

Varian High dan Diesel akan memperoleh lebih kelengkapan, termasuklah keyless-entry, pintu but berkuasa, tempat duduk berkuasa dengan fungsi memori (pemandu sahaja), balutan kulit, pendingin hawa dwi-zon dengan corong belakang, paddle-shifters dan 8 pengesan parkir.

Kini di bahagian mekanikal, di bawah hud CX-30 ini terdapat dua pilihan bahan bakar. Pertama, enjin petrol 2.0-liter SkyActiv-G yang menghasilkan 163hp dan 213Nm tork untuk varian rendah dan High.

Keduanya, enjin diesel 1.8-liter SkyActiv-D yang menjana 114hp dan 270Nm tork.

Semua varian menggunakan pacuan roda-depan dan kuasa dihantar melalui transmisi automatik 6-kelajuan SkyActive-Drive.

Kelengkapan standard lain termasuklah G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) serta i-Stop Idling Technology untuk lebih penjimatan bahan api.

Untuk aspek keselamatan, semua varian CX-30 dilengkapi dengan 7 beg udara sebagai standard.

Varian High dan Diesel pula seperti biasa mendapat kelengkapan keselamatan tambahan termasuklah Adaptive Front Lighting System, High Beam Control, Blind Spot Monitoring System, Rear Cross Traffic Alert, Smart Brake Support dan Mazda Radar Cruise Control.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here