Mazda 3 2019 kini dilancar, tiga varian, harga dari RM140k

2851

Kereta yang dinantikan dalam segmen-C di Malaysia tahun ini, Mazda 3, kini telah dilancar secara rasmi oleh Bermaz Motor. Harga adalah bermula dari RM140k hingga RM160k.

Harga ini ditawarkan bersama pakej jaminan 5-tahun bersama pakej penyelenggaraan berjadual percuma.



Ia hadir dalam tiga varian iaitu asas, High dan High Plus. Bergantung kepada varian, Mazda 3 generasi keempat ini boleh didapati dalam pilihan badan sedan atau hatchback, serta pilihan enjin SkyActiv-G berkapasiti 1.5-liter atau 2.0-liter.

Terdapat tujuh warna untuk Mazda 3 ini iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Snowflake White Pearl dan Polymetal Gray (hatchback sahaja).

Varian Asas

Varian ini dijual pada harga bermula RM139,770 dan datang dengan pilihan badan sedan dan hatchback.

Ia dipacu oleh enjin 1.5-liter empat-silinder yang menghasilkan 118hp pada 6,000rpm dan 153Nm tork pada 4,000rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan dan pacuan roda depan.

Kelengkapan luaran pada Mazda 3 varian ini adalah lampu depan projektor LED dengan DRL mentol, lampu belakang LED, rim aloi 16-inci, penghawa dingin manual zon tunggal, paparan instrumen TFT-LCD 7-inci, paparan tengah 8.8-inci dengan Mazda Connect, tempat duduk manual balutan fabrik dan head-up display.

Terdapat juga cruise control, fungsi brake hold dan mod pemanduan Sport untuk talaan pemanduan pedal dan transmisi lebih dinamik.

Varian 2.0 High

Mazda 3 2.0 High hanya boleh didapati dalam bentuk sedan dan dijual pada harga RM150,059. Seperti pada namanya, varian ini mendapat enjin 2.0-liter SkyActiv-G yang menjana 162hp pada 6,000rpm dan 213Nm tork pada 4,000rpm. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi sama dengan varian asas, iaitu automatik 6-kelajuan.

Ciri tambahan pada varian High termasuklah keyless entry, balutan kulit, sunroof, cermin pandang belakang tanpa bingkai, dan penghawa dingin dwi-zon. Terdapat juga corong pendingin hawa belakang.

Varian 2.0 High Plus

 

Varian tertinggi ini dijual dari RM160,059 dan ditawarkan dalam variasi sedan dan hatchback. Ia menerima penambahan dari varian 2.0 High seperti rim aloi lebih besar 18-inci, lampu depan LED dengan DRL LED berbentuk cincin dan tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan 10-arah.

Ia juga dilengkapi ciri lebih banyak iaitu pengesan parkir serta pakej keselamatan dan bantuan pemanduan Mazda i-Activsense. Ini merangkumi Adaptive Front-lighting System (AFS), High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS), Driver Attention Alert (DAA), Smart City Brake Support (SCBS) dan Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

Kesemua varian Mazda 3 2019 didatangkan dengan kelengkapan keselamatan standard yang merangkumi ABS, emergency brake assist (EBA), hill launch assist (HLA), Dynamic Stability Control (DSC) dan tujuh beg udara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here