
Zeekr Malaysia meraikan kejayaan penghantaran ke 2,000 unit kenderaan selepas setahun memasuki pasaran tempatan menerusi model Zeekr X dan Zeekr 009 pada Disember tahun lalu.
Penghantaran model ke 2,000 adalah Zeekr 7X AWD Performance yang merupakan milik Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ia didatangkan dengan tren kuasa motor berkembar dengan output 646hp dan tork 710Nm. Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 3.8 saat dengan jarak tempuh 543km.

“Mencapai angka 2,000 pemilik dalam masa setahun bukanlah satu pencapaian yang kecil bagi kami di Zeekr.
“Ia mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Zeekr dan janji kami untuk bukan sekadar menawarkan kereta, tetapi pengalaman pemilikan tiada tandingan,” kata Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu.
Bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lancar, Zeekr Malaysia sedang mempercepatkan kehadirannya di seluruh negara melalui pelan pengembangan strategik.
Bermula Januari 2026, syarikat bersedia untuk berkembang dengan cawangan pengedar baharu di Johor Bahru, Melaka, Ampang, dan Ipoh.
Menjelang akhir tahun 2026, rangkaian pengedar Zeekr akan merangkumi 18 bilik pameran di seluruh negara, termasuk lebih daripada 10 pusat servis serta pusat ketuk dan cat yang terletak secara strategik di seluruh Malaysia.






























