Penerbangan pertama AirBorneo bermula Januari 2026

8

Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo melancarkan logo dan slogan rasmi menjelang penerbangan sulungnya yang dijadual bermula Januari 2026.

Majlis pelancaran logo bertemakan ‘Wings of Unity’ dengan slogan ‘Borneo for You’ itu disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi. 

Pengerusi AirBorneo Holdings (BAH) Sdn Bhd, Datuk Amar Mohamad Abu Balar Marzuki berkata, logo itu membawa makna mendalam yang mencerminkan hasrat AirBorneo untuk menghubungkan Borneo dengan dunia.

“Logo ini bukan sekadar reka bentuk, tetapi lambang komitmen untuk menghubungkan komuniti, budaya dan peluang menjadikan Borneo sebagai destinasi global,” katanya. 

Menurutnya, reka bentuk logo berinspirasikan alam semula jadi dan budaya Sarawak dengan elemen seperti angin dan sungai yang melambangkan kebebasan, inovasi serta hubungan berterusan antara masyarakat.

“Latar belakang logo ini mencerminkan akar warisan Sarawak, satu penghormatan kepada masa lalu dan pada masa sama melangkah ke hadapan demi masa depan yang progresif,” katanya.

Logo berkenaan turut membawa mesej keharmonian, daya tahan dan kemajuan, nilai teras yang menjadi asas kepada operasi AirBorneo.

Mengulas mengenai slogan syarikat itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkata, ia menggambarkan visi AirBorneo sebagai pemangkin perjalanan bermakna yang merapatkan masyarakat serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebudayaan.

Katanya, ia juga seiring dengan visi kerajaan negeri untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau serta memperluas jaringan kerjasama ekonomi dan sosial di peringkat global.

AirBorneo mengambil alih operasi MASwings, penyedia perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Syarikat penerbangan itu dijangka memperluas perkhidmatan MASwings dengan menawarkan gabungan perkhidmatan penuh dan perkhidmatan udara luar bandar, demi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Borneo.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here