JPJ sita 38 kenderaan mewah, jumlah cukai tidak dibayar RM77,400

10

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 38 kenderaan mewah bernilai lebih RM10 juta dalam Ops Luxury atas kesalahan tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan sah.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifli Ismail berkata operasi dijalankan sejak Jun hingga semalam itu secara keseluruhannya menumpukan kenderaan mewah yang digunakan di jalan raya tanpa mematuhi syarat perundangan ditetapkan.

“Kenderaan mewah disita termasuk Rolls-Royce, Porsche, Mercedes-Benz, BMW dan Ferrari yang didapati tiada LKM serta insurans antara enam bulan hingga lebih dua tahun, namun tetap digunakan di jalan raya.

“Pemeriksaan mendapati Rolls-Royce bernilai lebih RM3 juta itu merekodkan nilai cukai jalan paling tinggi iaitu RM54,000 setahun dan tidak bayar sejak setahun lalu.

“Keseluruhan kenderaan disita tidak membayar cukai jalan sebanyak RM77,400,” katanya.

Beliau berkata pemilik kereta mewah itu adalah dalam kalangan syarikat dan individu terdiri daripada pemilik syarikat dan ahli korporat serta semasa ditahan ada antara kenderaan itu dipandu oleh ahli keluarga atau pekerja syarikat mereka.

Zulkifli berkata pihakya mendapati alasan yang paling banyak diberikan ialah terlupa untuk memperbaharui LKM dan insurans. 

Beliau berkata semua kenderaan mewah itu ditempatkan di JPJ negeri selagi pemiliknya tidak menjelaskan saman dan memperbaharui cukai jalan serta insurans walaupun mempunyai dokumen pemilikan yang lengkap dan sah.

“la disita dan disiasat di bawah Seksyen 23 dan 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi akan diteruskan dalam usaha memastikan kesemua kenderaan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Penguatkuasaan ini penting demi keselamatan pengguna jalan raya kerana jika berlaku kemalangan melibatkan kenderaan tanpa insurans, ia akan menyusahkan pemilik dan pihak ketiga,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here