
Proton Holdings Bhd mengetengahkan lima bidang teknologi utama dalam penyertaannya sebagai penaja platinum di Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2026 (GATE 2026) yang berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia.
Mengangkat tema Proton Melangkah Maju. Malaysia Mara Ke Hadapan, pengeluar kereta nasional itu menumpukan kepada perkembangan dalam bidang elektrifikasi, kenderaan pintar dan mobiliti terhubung.
Reruai pameran Proton menempatkan teknologi Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) sebagai tarikan utama.

Paparan itu dikelilingi terowong infiniti LED yang menggambarkan hala tuju berterusan syarikat ke arah mobiliti lebih pintar dan mampan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, kerjasama strategik bersama Geely mempercepat transformasi syarikat dalam aspek teknologi, kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan model.
“GATE 2026 memberi peluang kepada kami memperlihatkan kemajuan tersebut menerusi sistem yang menjadi tunjang kepada kenderaan kami, bukan sekadar kenderaan itu sendiri,” katanya.
Lima bidang teknologi yang dipamerkan Proton adalah :
- Teknologi HEV – Menampilkan keupayaan syarikat dalam elektrifikasi dan penyelesaian mobiliti pelepasan lebih rendah
- Seni Bina Elektrik dan Elektronik (EEA) – Menjadi asas komunikasi antara sistem kenderaan serta penyepaduan fungsi pintar
- Enjin i-GT 1.5 Liter – Enjin turbo generasi baharu yang menawarkan prestasi dan kecekapan, kini digunakan pada model Proton X50
- Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) – Merangkumi teknologi pengesanan, amaran dan bantuan pemandu bagi meningkatkan keselamatan
- Inforia dan Ketersambungan – Teknologi dibangunkan bersama ACO Tech untuk menyediakan pengalaman dalam kenderaan yang lebih intuitif, berciri tempatan dan terhubung

Perkembangan teknologi itu disokong prestasi jualan memberangsangkan. Pada 2025, Proton merekodkan jualan sebanyak 157,976 kenderaan, manakala eksport mencecah 6,000 unit — jumlah tahunan tertinggi sejak 2012.
Bagi tujuh bulan pertama 2026 pula, Proton berjaya menjual 118,788 unit, meningkat 38.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 21,808 unit merupakan kenderaan Proton e.MAS.
Proton e.MAS 5 kekal sebagai kenderaan elektrik (EV) terlaris di Malaysia, manakala Proton e.MAS 7 PHEV pula merupakan model hibrid plug-in terlaris negara.
Sempena perasmian GATE 2026, Proton turut menerima pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga ISO 50001:2018 daripada British Standards Institution.
Proton menjadi pengeluar kenderaan penumpang pertama di Malaysia menerima pensijilan tersebut.
Sistem itu menyediakan rangka kerja sistematik untuk memantau, mengawal dan meningkatkan prestasi tenaga dalam operasi pembuatan.
Sasaran syarikat kini adalah meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 2 peratus setiap tahun.

Ia turut melengkapi inisiatif di kompleks pembuatan Tanjung Malim seperti penjanaan tenaga solar fotovolta, pendigitalan tenaga, pemantauan masa nyata, penggunaan lampu LED dan pengoptimuman sistem pengeluaran.
Sehingga Disember 2025, sistem solar di kilang berkenaan membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 48,453 tan.
Dalam perkembangan berkaitan, Proton turut menandatangani dokumen kerjasama dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia.
Kerjasama itu merangkumi perkongsian kemudahan ujian, Pusat Ujian Automotif Nasional serta program pendedahan pembangunan berstruktur untuk kakitangan penyelidikan dan pembangunan Proton.































