
Kerajaan tidak merancang untuk menganjurkan semula kejohanan Formula Satu (F1) berikutan peningkatan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti, selain kalendar perlumbaan antarabangsa yang semakin padat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata penganjuran perlumbaan berprestij itu memerlukan pelaburan sekitar RM300 juta setahun bagi membayar yuran penganjuran kepada pemegang hak komersial F1, Liberty Media.
“Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran selama tiga hingga lima tahun dengan Liberty Media, dan ini melibatkan komitmen yuran hak penganjuran sekitar RM1.5 bilion sepanjang tempoh tersebut.
“Kos penyediaan litar dan penganjuran acara turut perlu diambil kira, dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih mengekalkan penarafan homologasi Litar Gred 1 daripada Fédération Internationale de l’Automobile (FIA), dan memerlukan RM10 juta setiap tahun bagi memastikan keselamatan litar serta fasiliti sokongan menepati piawaian tersebut,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Jelasnya, peruntukan besar bagi menganjurkan F1 boleh digunakan untuk membiayai pelbagai program pembangunan sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sebagai contoh, katanya, kementerian boleh melaksanakan program pembangunan 20 jenis sukan melibatkan 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat dengan kos keseluruhan RM124.1 juta setahun.
Selain itu, kos penyelenggaraan litar sebanyak RM10 juta setahun juga boleh digunakan untuk membiayai program Road to Gold (RTG) bagi tempoh setahun.
“Dengan jumlah yang sama juga, kerajaan memperuntukkan Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun. Inisiatif ini penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan menerusi penglibatan sektor swasta dalam penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai penggunaan litar SIC, Hannah menjelaskan bahawa litar tersebut dibuka kepada orang awam melalui program SIC Time Out yang merangkumi pelbagai aktiviti komuniti percuma seperti berbasikal, bermain papan selaju dan lain-lain.
Selain itu, penganjuran tahunan MotoGP pada tahun lalu berjaya menarik kehadiran hampir 185,000 penonton, menjana nilai tambah impak ekonomi sebanyak RM329 juta, serta mencipta 4,463 peluang pekerjaan kepada rakyat.