
Kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga mengakibatkan kematian wajar diklasifikasikan sebagai jenayah berat, seiring dengan kesan serius perbuatan berkenaan yang meragut nyawa pengguna jalan raya tidak bersalah.
Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rozmi Ismail berkata kesalahan itu juga boleh dipertimbangkan untuk diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita boleh bawa (siasat) Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini supaya biar orang yang melakukan perbuatan (memandu di bawah pengaruh alkohol) ini serik.
“Ini kerana anda tahu bahawa tidak boleh memandu dalam keadaan mabuk tetapi tetap meneruskan pemanduan, perbuatan itu seperti ada niat (membunuh), namun ini terpulang kepada mahkamah untuk menilai tetapi siasatan boleh dijalankan mengikut Kanun Keseksaan itu,” katanya kepada Bernama.
Rozmi berkata undang-undang sedia ada ketika ini perlu diperketat selain ditambah baik dengan memberi tumpuan kepada elemen keadilan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan.
“Jika melihat kesan pada pihak mangsa, saya rasa ni sangat tidak adil. Maksudnya pesalah masuk penjara 10 tahun tetapi mangsa yang meninggal itu sudah meninggalkan anak-anak dan siapa nak menanggung,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan kebajikan seperti konsep “diat” atau pampasan dalam undang-undang Islam dipertimbangkan bagi memastikan pelaku turut menanggung kehidupan keluarga mangsa.
Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun, denda hingga RM100,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu 10 tahun atau lebih.
GUNA TEKNOLOGI DADSS

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta mempertimbangkan penggunaan teknologi pengesan pemandu mabuk dalam kenderaan bagi mencegah tragedi sama berulang.
Ahmad Fakhrul Anuar berkata perkembangan teknologi automotif seperti Driver Alcohol Detection system for Safety (DADSS) dan Driver Monitoring System (DMS) boleh dimanfaatkan sebagai langkah pencegahan.
“Teknologi seperti DADSS telah pun dibangunkan di Amerika Syarikat sebagai langkah pencegahan pemanduan mabuk dan Malaysia boleh mengadaptasi pendekatan teknologi seperti ini pada masa hadapan bagi memastikan kenderaan tidak boleh dipandu oleh individu yang berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Selain itu, beliau berkata terdapat juga teknologi DMS yang menggunakan kamera dan sensor bagi memantau tingkah laku pemandu termasuk tahap kewaspadaan, pergerakan mata dan corak pemanduan bagi mengesan keadaan pemandu yang tidak sedar diri, mengantuk atau berpotensi berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
Ahmad Fakhrul Anuar berkata hukuman dan denda terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah perlu dikaji semula supaya lebih tegas dan memberi kesan pencegahan yang kuat.






























