
Kedengaran agak aneh bukan bila anda baca tajuk “Skoda hasilkan konsep cafe racer Slavia B” bila mana Skoda lebih dikenali sebagai sebuah jenama kereta.
Konsep cafe racer ini dikenali dengan nama Laurin & Klement Slavia B, dihasilkan oleh Romain Bucaille – seorang pereka yang bertanggungjawab dalam menghasilkan rekaan luaran kereta-kereta Skoda.
Slavia B Concept ini merupakan jelmaan moden kepada Slavia B, model motosikal pertama yang dihasilkan pada tahun 1899.
Menerusi model konsep ini, Skoda dilihat berazam untuk menghidupkan semula legasi kenderaan ikonik mereka di bawah jenama Laurin & Klement.
Tidak seperti model asal yang dikuasakan oleh enjin sejukan udara 240 cc 1.75 hp, Slavia B Concept ini merupakan sebuah cafe racer berkuasa elektrik dengan spesifikasi yang tidak didedahkan kepada umum buat masa ini.
Namun, konsep tersebut mengekalkan siluet motosikal jenama Laurin & Klement, diikuti dengan lampu LED depan belakang serta sistem pacuan akhir berasaskan tali sawat.
Laurin & Klement memperkenalkan Slavia B pada tahun 1899, di mana sebanyak 540 unit telah berjaya diproduksikan sehingga tahun 1904.
Jentera 240 cc tersebut mampu mencapai kelajuan maksimum 40 km/j.