Utama Berita Automotif Nissan Frontier Pro / Navara Pro ke pasaran global, PHEV untuk ASEAN!

Nissan Frontier Pro / Navara Pro ke pasaran global, PHEV untuk ASEAN!

11

Nissan akan memperkenalkan Frontier Pro / Navara Pro baharu ke pasaran global secara berperingkat bermula di Mexico pada Oktober 2026.

Model ini dibangunkan berdasarkan pengalaman Nissan selama lebih 90 tahun dalam menghasilkan pikap. 

Setakat ini lebih 15 juta unit telah dijual di lebih 140 pasaran sejak trak Type 13 diperkenalkan pada 1934.

Frontier Pro / Navara Pro ditawarkan dengan rangkaian kuasa yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pasaran.

Di antaranya sistem hibrid plug-in (PHEV) 1.5 dan 2.0 liter serta enjin pembakaran dalaman (ICE).

Diuji Lebih 100,000 km di Mexico

Frontier Pro / Navara Pro direka, dibangunkan dan dihasilkan oleh Zhengzhou Nissan Automobile Co. Ltd., syarikat usaha sama Nissan di China.

Ia merupakan model Nissan pertama yang dibangunkan dan dihasilkan di China untuk dieksport ke pasaran global, mengikut piawaian kualiti dan ketahanan Nissan.

Nissan menjalankan penilaian lebih 100,000 km di Mexico bagi memastikan Frontier Pro PHEV memenuhi keperluan dan keadaan penggunaan di pasaran Amerika Latin.

Ujian tersebut meliputi prestasi pecutan, pengurusan pengecasan bateri dan keupayaan mendaki di kawasan altitud tinggi.

Talaan suspensi dan stereng turut diuji bagi mendapatkan keseimbangan antara kestabilan pengendalian dan keselesaan.

Sistem brek pula diuji bagi mendapatkan tindak balas membrek yang semula jadi serta penyelarasan lancar dengan brek regeneratif.

Prestasi menunda, keupayaan off-road dan ketahanan turut dinilai dalam pelbagai keadaan di Amerika Latin.

Rangkaian Kuasa PHEV untuk Mexico

Untuk pasaran Mexico, Frontier Pro PHEV diperkenalkan dengan enjin turbo 1.5 liter, motor elektrik dan bateri litium-ion berkapasiti 20 kWj yang boleh dicas.

Sistem tersebut menghasilkan kuasa 350 PS dan tork 660 Nm, dengan jarak pemanduan elektrik sehingga 75 km serta jarak keseluruhan sekitar 1,000 km.

Frontier Pro PHEV menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD) dengan kunci pembeza belakang.

Keupayaan menunda maksimum ialah 3,500 kg, manakala kapasiti muatan maksimum mencapai 815 kg. Suspensi belakang pula menggunakan pelbagai pautan.

Model PHEV turut mempunyai fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk membekalkan tenaga elektrik kepada peralatan luaran, sesuai digunakan ketika aktiviti luar atau di tapak kerja.

Ukuran

Nissan mendakwa Frontier Pro PHEV merupakan model terbesar dalam barisan pikap saiz pertengahan Nissan. Ia mempunyai ukuran berikut:

  • Panjang × lebar × tinggi: 5,494 × 1,960 × 1,945 mm
  • Jarak roda: 3,300 mm
  • Kelegaan tanah: 232 mm

Kelengkapan

Pasaran Mexico menerima dua varian iaitu LE dan Platinum.

Kedua-duanya dilengkapi lampu LED penuh, logo Nissan bercahaya dan rim aluminium 18 inci. 

Ruang kabin boleh memuatkan lima penumpang dan dilengkapi skrin tengah 14.6 inci dan meter digital.

Nissan menggunakan kaca akustik serta bahan penyerap bunyi untuk mengurangkan bunyi enjin, jalan dan angin. 

Varian Platinum ditawarkan sistem audio premium FOCAL serta kerusi pemandu dengan fungsi urutan. Varian ini turut menerima pemijak sisi elektrik.

Teknologi Bantuan Pemanduan

Gred LE menerima 10 teknologi bantuan pemanduan seperti ProPILOT Assist, brek kecemasan pintar, sistem pencegahan pelanggaran belakang dan bantuan kekal lorong.

Gred Platinum menambah sembilan lagi teknologi bantuan pemanduan.

PHEV untuk ASEAN

Di Mexico, Frontier Pro PHEV mula dijual pada Oktober 2026.

Filipina akan menerima model ini pada November, diikuti pasaran Timur Tengah dan Amerika Latin yang lain menjelang akhir 2026.

Australia dan New Zealand pula akan menerima model ini sebagai Navara Pro pada 2027.

Untuk rangkaian kuasa, versi PHEV ditawarkan di Amerika Latin, ASEAN dan Oceania, manakala versi ICE akan ditawarkan di Timur Tengah.

Harga Frontier Pro PHEV di Mexico bermula daripada Mex$969,900, bersamaan kira-kira RM220,652.

Kredit gambar: Nissan

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here