
Semasa pengenalan Navara generasi keempat (D27), Nissan turut berkongsi mengenai varian lasak Navara PRO-4X Warrior baharu.
Model Warrior asing di pasaran tempatan tetapi tidak di Australia.
Program Warrior oleh Premcar (rakan kejuruteraan Nissan Australia sejak 2019) telah menyerahkan lebih 12,750 kenderaan yang dikeluarkan semula (remanufactured) kepada pelanggan.
Pakej Peningkatan Utama
Model konsep Navara PRO-4X Warrior menampilkan pakej pengubahsuaian komprehensif, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan off-road dan mengukuhkan identiti Warrior.
Keupayaan dan Casis
- Sistem suspensi tinggi (lifted suspension) dengan spring gegelung hadapan dan penyerap hentak berwarna merah lava khas.
- Jejak lebih lebar (wider track) melalui roda 17 inci untuk lebih kestabilan.
- Tayar semua rupa bumi (AT) 32.2 inci meningkatkan kelegaan bumi dan keupayaan off-road.
- Penalaan suspensi dioptimumkan untuk keadaan dengan dan tanpa muatan.
Perlindungan dan Gayaan
- Reka bentuk bullbar dipertingkat dengan perlindungan hadapan lebih besar untuk sudut mendaki (approach angle) yang lebih baik.
- Sistem plat pelindung bawah badan berlapis dengan kemasan merah lava melindungi komponen pacuan yang kritikal.
- Bar tunda 3,500kg dan dua cangkuk tunda belakang berwarna merah lava.
- Riasan merah lava pada bezel lampu dan kemasan lain, berfungsi sebagai penanda visual.
- Ciri-ciri unik lain termasuk pendakap fender PRO-4X dengan elemen merah lava, tub liner, bantuan pintu belakang (tailgate assist) dan logo Warrior yang menyerlah
Pelancaran 2026
Navara D27 yang menjadi asas kepada pikap ekstrem ini akan mula dijual di Australia pada akhir suku pertama 2026.
Semua varian Navara dikuasakan enjin turbodiesel 2.4 liter dengan padanan kotak gear automatik enam kelajuan dan berkuasa 204 ps dan 470Nm.
Butiran lanjut mengenai pelancaran Warrior akan dikongsi pada tahun hadapan.
Gambar: Nissan



































