
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menyita sebuah Toyota Vellfire selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran kenderaan Perodua Kancil.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MPV mewah yang dipandu lelaki tempatan itu juga tidak memiliki insurans sah dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.
“Sehubungan itu, beberapa saman telah dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan,
tiada perlindungan insurans yang sah dan LKM tamat tempoh.

“Kenderaan terbabit turut disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan.
JPJ Negeri Melaka ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan jalan raya, termasuk memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.































